malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Ejek Sim: Pembantu Guan Eng biadab - Pemuda DAP bahagian
Diterbitkan:  Feb 17, 2025 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM
ADS

Susulan insiden kekecohan yang berlaku pada majlis makan malam penghormatan Lim Kit Siang di Pulau Pinang pada Sabtu lalu, sekurang-kurangnya tiga bahagian Pemuda DAP menggesa parti itu mengambil tindakan disiplin segera terhadap Tan Khong Chong, pembantu khas Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

Pemuda DAP Bukit Mertajam, Tasek Gelugor dan Batu Kawan mengeluarkan kenyataan berasingan hari ini mengecam tindakan Tan yang mencetuskan insiden tersebut.

Ketua Pemuda DAP Batu Kawan Liinesh Selluandan, menyifatkan tindakan Tan sebagai "biadab dan tidak berdisiplin."

"Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan imej DAP, tetapi turut merosakkan integriti dan prinsip perjuangan kita sebagai sebuah parti yang berpegang teguh kepada demokrasi, disiplin, dan keadilan," katanya.

ADS

"Kami menuntut tindakan disiplin yang segera dan tegasterhadap Tan Khong Chong, pembantu khas kepada Lim Guan Eng, yang telah melanggar etika dan disiplin parti melalui tindakan serangan terbuka terhadap pengerusi DAP negeri," tegas Liinesh juga naib ketua Pemuda DAP Kebangsaan.

'Ada unsur terancang?'

Sementara itu, Ketua DAPSY Tasek Gelugor Ooi Zong Zie mengkritik kegagalan beberapa pemimpin kanan parti yang berada di lokasi kejadian kerana tidak campur tangan bagi menghentikan insiden tersebut, malah ada yang ketawa ketika kejadian berlaku.

“Kami menggesa jawatankuasa disiplin DAP menjalankan siasatan segera bagi menentukan jika insiden ini merupakan satu tindakan yang telah dirancang.

ADS

“Sebagai pemimpin kanan parti, mereka seharusnya menjadi contoh, menegakkan disiplin parti dan menjaga perpaduan, bukannya mengambil kesempatan untuk mewujudkan perpecahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua DAPSY Bukit Mertajam, Chew Lee Oon menegaskan DAP mempunyai disiplin yang ketat dan sebarang rasa tidak puas hati dalam parti sepatutnya disalurkan melalui saluran yang betul, bukan dengan tindakan provokasi.

'DAP bukan syarikat keluarga'

Chew mengutuk insiden pada Sabtu lalu, menyifatkannya sebagai budaya samseng dalam politik yang tidak boleh diterima.

Kekuatan DAP kata Chew bukan terletak pada pemujaan individu, tetapi pada kepimpinan kolektif.

“Pemimpin parti mesti dipilih secara demokratik oleh ahli, bukannya dikuasai oleh keluarga tertentu atau individu tertentu. Parti ini tidak patut dikendalikan seperti perusahaan keluarga dan sumbernya tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan politik peribadi atau keluarga.

“DAP mesti beroperasi mengikut prinsip pembuatan keputusan secara demokratik, bukan mengikut kehendak seorang individu autoritarian.

"Kuasa kepimpinan milik anggota akar umbi, bukan ditentukan oleh pengaruh kumpulan tertentu atau dinasti keluarga dalam parti.

ADS

"Tiada siapa pun yang wajar mengeksploitasi pengaruh keluarga atau setempat untuk kepentingan mereka dan tidak menghormati kepimpinan parti," katanya lagi.

Chew berkata dia akan menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang untuk menuntut siasatan penuh mengenai insiden tersebut.

Pemuda DAP Bukit Mertajam juga akan mengumpulkan tandatangan untuk menyokong tindakan disiplin terhadap Tan.

Liinesh, Ooi dan Chew turut menegaskan sokongan penuh mereka kepada Steven Sim susulan insiden ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Tan mengganggu dan mengejek Steven Sim ketika dia sedang menyantuni para penyokong selepas majlis makan malam penghormatan kepada Lim Kit Siang pada Sabtu lalu.

Dalam insiden itu, Tan berulang kali menjerit "pengkhianat" dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Sim.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen