Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa permohonan perintah larangan bersuara (gag order) oleh kerajaan, jika diluluskan oleh mahkamah sivil boleh menjejaskan hak ahli parlimen untuk membahaskan isu titah adendum tahanan rumah yang didakwa melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Afidavit sokongan yang difailkan Hamzah memohon agar peguamnya dibenarkan menjadi pemerhati dalam prosiding semakan kehakiman Najib.
Hamzah menegaskan dia dan dua lagi ahli parlimen pembangkang — Ronald Kiandee (timbalan ketua whip pembangkang) dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar — mempunyai kepentingan dalam kes ini kerana isu titah adendum telah dibangkitkan di Dewan Rakyat sejak 7 Mac tahun lalu.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, Hamzah berkata bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob membangkitkan isu berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat pada 7 Mac 2023 dan persoalan mengenai kewujudan titah adendum itu sekali lagi dibahaskan pada 10 Disember tahun lalu.

"Saya ingin nyatakan bahawa perintah sekatan bersuara itu, sekiranya dipohon dan dibenarkan akan menimbulkan satu suasana di mana hak ahli-ahli Dewan Rakyat untuk bersuara, menanyakan soalan, membincang malah berdebat mengenai perkara-perkara yang bersangkut paut dengan isu sebagaimana dalam tindakan ini akan dikekang ataupun cuba dikekang oleh pihak yang tidak mahu perkara-perkara tersebut dibincangkan, diperdebatkan ataupun ditanyakan soalan mengenainya sedangkan ianya tidak boleh berbuat sedemikian dalam Dewan Rakyat.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada hak bersuara ahli-ahli Dewan Rakyat boleh dikekang oleh mahkamah," kata pada afidavit yang difailkan pada 22 Januari.
AG bantah permohonan MP pembangkang
Dalam afidavit bantahan yang difailkan pada 10 Februari, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar (gambar bawah) menolak permohonan tiga ahli parlimen pembangkang untuk mendapatkan peguam pemerhati (watching brief) dalam kes titah adendum Najib.

Dusuki berpendapat ketiga-tiga pemimpin pembangkang tersebut bukan pihak dalam permohonan perintah larangan bersuara itu dan oleh demikian tidak berhak membantah permohonan kerajaan.
Peguam negara berkata tambahan pula, ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan telah pun dilarang daripada membincangkan tindakan mahkamah Najib di Dewan Rakyat susulan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, yang tidak membenarkan isu addendum dibahas pada 4 Februari.
Menurut Dusuki lagi, kehadiran peguam mereka dalam prosiding mahkamah juga tidak diperlukan, memandangkan pasukan guaman Najib sudah mencukupi untuk membangkitkan sebarang isu perlembagaan yang relevan.
Demi lindungi Lembaga Pengampunan
Pada 20 Januari, kerajaan memfailkan permohonan perintah larangan bagi menghalang sebarang kenyataan awam yang boleh mencetuskan keraguan terhadap integriti dan kuasa Lembaga Pengampunan serta Yang di-Pertuan Agong.
Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini, kerajaan memohon perintah larangan itu untuk menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan, menyiarkan, atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan semakan kehakiman tersebut.
Ia memohon perintah larangan bersuara terhadap penyebaran yang boleh menyebabkan perbincangan awam dan spekulasi yang mencetuskan keraguan, mempersoalkan, mencabar atau menghina prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan juga meminta perintah itu berhubung penyebaran yang boleh menimbulkan spekulasi dan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong.

Bagaimanapun persoalan timbul mengenai kewujudan titah tersebut dan jika kerajaan sengaja menyembunyikannya.
Jika permohonan itu dibenarkan oleh mahkamah sivil, ia bukan sahaja menghalang media daripada melaporkan kes ini, malah melarang mana-mana anggota kehakiman dan peguam yang terlibat dalam kes ini daripada berkongsi dokumen sulit berkaitan.
Najib memfailkan semakan kehakiman bagi menuntut pelaksanaan addendum diraja yang didakwa membolehkannya menjalani baki hukuman enam tahun penjara di bawah tahanan rumah.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman, dengan alasan afidavit sokongan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail hanyalah khabar angin (hearsay).
Bagaimanapun, pada awal tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan membenarkan Najib meneruskan tindakan undang-undangnya. Hakim turut mengarahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.
Mahkamah Rayuan juga membenarkan Najib menggunakan afidavit anaknya, Nizar, yang mendakwa Istana Pahang telah mengesahkan kewujudan addendum tersebut.
Pada 29 Januari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengeluarkan nasihat diraja bagi mengurangkan hukuman penjara Najib dari 12 tahun ke enam tahun, serta mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun, bekas menteri kewangan itu mendakwa terdapat satu lagi titah tambahan yang membenarkannya menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
Hukuman terhadap Najib berkaitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International, yang melibatkan kesalahan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram.