malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli parlimen gesa PM selamatkan Pannir dari tali gantung S'pura
ADS

PARLIMEN | Empat wakil rakyat kerajaan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam kes hukuman mati Pannir Selvam Pranthaman, yang dijadualkan dilaksanakan pada Khamis ini (20 Februari) di Singapura.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyuarakan harapan agar Pannir dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara sambil membantu siasatan berkaitan kesnya.

“Kami dengan penuh hormat berpendapat Pannir hanyalah 'keldai' (pembawa) dadah dan tidak sepatutnya dihukum gantung, sedangkan anggota sindiket dadah masih bebas dan berkemungkinan sedang menyusun strategi baru untuk memperdaya rakyat Malaysia yang tidak menyedari kandungan bungkusan yang mereka bawa,” katanya dalam sidang media.

Pada 2017, Pannir, yang kini berusia 30 tahun, disabitkan kesalahan kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke Singapura, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori. Dia ditahan di pos pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Gambar fail, PM Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatan dari Singapura Lawrence Wong.
ADS

Ramkarpal menambah keluarga Pannir telah membuat laporan polis pada 12 Februari berhubung maklumat mengenai seorang perekrut dari Malaysia serta untuk mengetahui perkembangan siasatan kes tersebut.

Selepas 10 tahun menunggu, keluarga Pannir akhirnya menerima pengesahan daripada polis bahawa kertas siasatan telah dibuka dan pegawai penyiasat telah dilantik.

Namun, pada 16 Februari, mereka menerima notis pelaksanaan hukuman mati, yang dijadualkan berlangsung pada 20 Februari.

“Kami berharap Pannir akan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman sambil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” tambah Ramkarpal.

Menurut Ramkarpal, memandangkan Pannir telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura maka kedua-dua negara diharapkan tidak meneruskan hukuman mati terhadapnya.

Katanya lagi, para ahli parlimen berkenaan berharap kerajaan Malaysia akan campur tangan dalam kes ini.

“Walaupun Mahkamah Tinggi Singapura memutuskan Pannir didapati telah mengangkut dan menghantar dadah di bawah Seksyen 33B(2)(a)(i) Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, dia tidak diberikan Sijil Bantuan Substantif.”

“Sijil ini pengiktirafan daripada Pendakwa Raya Singapura bahawa Pannir telah memberi maklumat penting bagi membantu siasatan kes dadah di negara itu,” katanya.

Malaysia boleh guna mekanisme Asean

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata memandangkan Malaysia kini menjadi pengerusi Asean, Anwar seharusnya menggunakan kedudukan tersebut untuk mendesak mekanisme yang lebih adil dalam kes seperti Pannir.

“Seperti yang kita tahu, Malaysia telah memansuhkan hukuman mati mandatori. Kami masih mengekalkan hukuman mati sebagai pilihan, tetapi semua pelaksanaan hukuman telah dibekukan.

“Ini langkah baik, dan saya rasa Singapura boleh mengikuti jejak ini. Mereka boleh kekal tegas dengan undang-undang mereka.

ADS

“Kita tidak berniat mencampuri sistem mereka, tetapi mereka boleh meraih penghormatan antarabangsa, lebih-lebih lagi sebagai negara maju,” tambahnya.

Wong turut menggesa ahli parlimen Singapura supaya turut bersuara mengenai kes ini.

“Ini isu rentas parti, jadi kami berharap ahli parlimen di Singapura juga memberikan respons yang sama dan berbincang dengan kerajaan mereka.

“Kerana kami mahu melihat pentadbiran baru Lawrence Wong menjadi lebih progresif dan berpandangan jauh,” katanya.

Keluarga Pannir rayu bantuan

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran serta bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthurri Patto.

Turut hadir sembilan NGO, termasuk Suaram, Bersih dan Hayat yang menyatakan sokongan terhadap kenyataan tersebut.

Adik Pannir, Angelia Pranthaman (gambar atas) yang turut hadir sidang media hari ini berkata abangnya kini berada dalam keadaan tertekan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Dia berada dalam keadaan kemurungan dan buntu kerana semua rayuannya telah ditolak.

“Walaupun dalam kerangka undang-undang, dia tidak diberikan sijil yang sepatutnya diperolehnya bagi mendapatkan bantuan dalam sistem keadilan di Singapura.

“Ibu bapa dan kakak saya telah berlepas ke Singapura semalam. Hanya saya yang tinggal di sini, berusaha mencari jalan,” katanya sambil menangis.

Puisi Pannir buat banduan akhir

Tiga tahun lalu, Pannir pernah menulis sebuah puisi untuk rakan senegaranya, Dharmalingam Nagaenthran, seorang banduan Malaysia yang dihukum mati pada 27 April 2022 selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhirnya.

Ketika itu, Nagaenthran berusia 33 tahun, dan mengalami masalah mental namun tetap dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menyeludup kira-kira 42.7 gram heroin ke Singapura.

Kini, keluarganya berharap agar nasib sama tidak menimpa Pannir dan menyeru kerajaan Malaysia untuk bertindak segera sebelum terlambat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen