Konflik dalaman dalam DAP kian memuncak apabila seorang penyokong kuat Lim Guan Eng secara terbuka memaki pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim dalam bahasa Hokkien pada majlis makan malam di Pulau Pinang.
Majlis makan malam itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada veteran parti itu, Lim Kit Siang yang juga bapa kepada Guan Eng.
Pun begitu, Sim dilihat tetap tenang dan hanya membalas dengan senyuman.
Ironinya, insiden itu berlaku pada hari yang sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan dakwaan berlaku pergolakan dalam parti itu.
Seorang saksi mengesahkan kepada Malaysiakini kejadian itu berlaku ketika Sim sedang bersalaman dengan penyokong selepas majlis makan malam tersebut.
Sebahagian daripada insiden itu dirakam dalam video dan kini tular di media sosial.
Individu yang memaki Sim itu dikenal pasti sebagai Tan Khong Chong, pembantu khas Guan Eng.
Guan Eng, yang merupakan ahli parlimen Bagan kini berdepan cabaran besar dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP pada 16 Mac ini.
Rakaman video menunjukkan dua lagi tokoh parti itu - Adun Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen dan Ketua Pemuda DAP Bagan, Foo Weng Kar - turut berada di tempat kejadian.

Menurut saksi, ketika tetamu sedang beredar, Tan menghampiri Sim dan berulang kali menjerit "Fan Gu Zai" (pengkhianat) selama hampir 10 saat.
Rakaman video menunjukkan Sim mesra melayan hadirin dan bergambar bersama mereka, manakala Tan, berdiri di belakangnya dan dengan kuat menuduhnya cuba menjatuhkan "bosnya" (Guan Eng) dalam bahasa Hokkien.
Kata-kata kesat dalam Hokkien
Pada satu ketika, Tan melemparkan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien kepada Sim.
"Kiong*** ... Tak apalah, biar dia jatuh!" jerit Tan.
Rakaman itu juga menunjukkan Tan menghulurkan tangan untuk menepuk bahu Sim, seolah-olah mahu berdepan secara langsung dengannya.
"Eh, Steven, saya tak salah kan? ... Awak pengkhianat kan?"
"Kalau dia berani lawan, kita berani lawan juga... Apa nak ditakutkan? Dia ada penyokong dia, kita pun ada penyokong kita. Tengoklah nanti!"

Semasa kekecohan itu, seorang lelaki cuba menghalang Tan daripada mendekati Sim.
Namun Sim tetap tenang sepanjang insiden itu dengan tidak membalas atau melayan provokasi berkenaan, malah terus tersenyum dan beramah mesra dengan hadirin.
Ketika dihubungi petang ini, Sim kelihatan tidak terkesan dengan insiden itu.
"Majlis malam tadi adalah untuk meraikan hari jadi Lao Da (gelaran hormat untuk Kit Siang). Lao Da gembira, dan semua rakan seperjuangan pun gembira.
"Itu yang paling penting bagi saya. Segala perkara lain tidak penting," katanya kepada Malaysiakini.
Spekulasi mengenai pengaruh Guan Eng semakin malap
Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan sejak pemilihan DAP Pulau Pinang pada 22 Sept tahun lalu, beberapa perkembangan menimbulkan persoalan mengenai aura politik Guan Eng yang dikatakan semakin malap.

Walaupun dia tidak bertanding dalam pemilihan DAP negeri, pengaruhnya tetap dirasai.
Guan Eng dan penyokongnya beberapa kali mengkritik pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow secara terbuka, menimbulkan spekulasi bahawa dia berhasrat untuk meletakkan adiknya, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang - yang berpotensi menjadi batu loncatan ke jawatan ketua menteri.
Bagaimanapun, dengan "campur tangan" Loke - satu dakwaan yang Loke sendiri nafikan - Sim dipilih sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang, manakala Hui Ying mengekalkan jawatannya sebagai setiausaha DAP negeri.
Keputusan pemilihan itu mencetuskan spekulasi meluas bahawa kumpulan Guan Eng mengalami tamparan hebat, dengan beberapa penyokong setianya diihat seolah-olah cuba menjauhkan diri daripadanya.