malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Laksana kadar caruman KWSP progresif untuk pekerja asing, bukan 2 peratus'
Diterbitkan:  Feb 16, 2025 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Tenaganita meminta kerajaan melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berperingkat untuk pekerja asing.

Pengarah eksekutifnya, Glorene A Das, berkata langkah itu akan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja asing berbanding kadar tetap 2 peratus yang dirancang oleh kerajaan.

“Sistem caruman berperingkat boleh memberikan penyelesaian yang lebih saksama, di mana pekerja dalam sektor gaji rendah menyumbang pada kadar progresif, yang meningkat secara beransur-ansur sepanjang tempoh pekerjaan mereka.

“Ini akan memastikan pekerja asing dapat membina simpanan dari masa ke masa, dan tidak tertakluk kepada had 2 peratus semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 3 Feb lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kabinet bersetuju untuk menetapkan kadar 2 peratus caruman KWSP bagi pekerja asing.

Anwar berkata ia lebih rendah berbanding cadangan asal iaitu pada kadar 12 peratus.

Glorene berkata walaupun pihak majikan menyambut baik pengurangan itu, ia sebenarnya merugikan pekerja asing yang sudah pun berdepan dengan diskriminasi.

“Pekerja asing sudah pun berada dalam keadaan tidak seimbang dari segi gaji, keadaan kerja dan perlindungan undang-undang, dan pengurangan caruman KWSP ini terus melebarkan jurang ketidaksamaan.

“Ia memberikan mesej bahawa, walaupun mereka memainkan peranan penting dalam industri seperti elektronik, kelapa sawit dan pembinaan, mereka tidak berhak mendapat jaminan yang sama seperti pekerja Malaysia,” katanya.

Rang undang-undang untuk mewajibkan pekerja asing mencarum dalam KWSP dijangka dibentangkan dalam sidang parlimen ketika ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen