Wanita Warisan hari ini mengulas mengenai jumlah emoji ketawa yang memenuhi ruangan reaksi pada hantaran laman Malaysiakini BM mengenai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka tidak mempunyai bukti mencukupi untuk bertindak terhadap skandal rasuah di Sabah.
Pemangku Ketua Wanita Warisan Norfaizah Chua menyoal jika pengguna media sosial yang meninggalkan reaksi emoji ketawa itu sebenarnya cuba menyampaikan mesej kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Dia menyorot jumlah pengguna yang cenderung meninggalkan emoji ketawa lebih ramai berbanding tanda ‘thumbs up’ (suka).
"Setakat 14 Februari 2025, sukacitanya siaran tersebut dalam Facebook telah mendapat “lebih kurang 1500 likes” dan “melebihi 800 comments”.
"Namun dengan dukacitanya hanya lebih kurang 150 likes adalah emoji “Thumb-up” dan sisanya adalah emoji ketawa.
"Berdasarkan aksi dua emoji yang diberikan oleh masyarakat terhadap kandungan berita tersebut, bermakna hanya 10 peratus yang memuji manakala 90 peratus ketawa berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Saya tertanya-tanya apa maksudnya emoji ketawa sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan likes yang diberikan oleh masyarakat di dalam siaran ini dan apa mesej yang masyarakat cuba sampaikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan skandal rasuah di Sabah," katanya pada satu kenyataan.
Menurut pemeriksaan setakat jam 2 petang hari ini, hantaran tersebut telah mengumpulkan kira-kira 1,400 reaksi emoji ketawa dan 172 tanda suka.
SPRM dakwa kekurangan maklumat
Artikel berita yang menjadi tumpuan ini memetik kenyataan Azam bahawa SPRM tidak dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap skandal rasuah yang didakwa berlaku di Sabah kerana kekurangan maklumat.
Menurut ketua pegawai pencegahan rasuah negara itu, situasi ini berlaku kerana pemberi maklumat enggan berkongsi video yang didakwa merakam perbualannya dengan wakil-wakil rakyat yang terlibat.
"jadi maklumat (video diterbit Malaysiakini) kita ada itu terlalu sedikit dan sukarkan siasatan kami," kata Azam kepada Astro Awani.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking mengecam Azam dengan membandingkan siasatan SPRM terhadap skandal ini dengan kes-kes rasuah lain, apabila dia mendakwa suspek dalam kes lain pernah direman dengan bukti yang jauh lebih sedikit.
Sejak November, Malaysiakini menerbitkan lebih lapan video serta sejumlah besar tangkap layar perbualan WhatsApp yang berkaitan dengan kes ini.
Pemberi maklumat, seorang ahli perniagaan, mendakwa video-video tersebut merakam perbualan mengenai rasuah yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), yang menerima sogokan sebagai balasan untuk lesen penerokaan mineral.
Dalam perbincangan tersebut, beberapa Adun termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, turut mengaitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dengan dakwaan pengagihan lesen sebagai "hadiah" untuk mendapatkan sokongan ketika krisis politik Sabah pada 2022.
Bagaimanapun, Hajiji menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu usaha untuk memburukkan pentadbirannya serta mendakwa pemberi maklumat itu bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.