Beberapa NGO menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan semakan kehakiman terhadap keputusan pendakwa raya dalam memulakan, menghentikan atau tidak meneruskan pendakwaan di mahkamah.
“Kami juga menyeru supaya hak untuk semakan kehakiman terhadap keputusan pendakwa raya diberikan, seperti mana kita mempunyai hak untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan perdana menteri atau menteri.
“Ini akan membolehkan mahkamah mempertimbangkan sama ada keputusan pendakwa raya itu tidak sah, tidak adil dari segi prosedur, tidak munasabah atau tidak selaras dengan hak asasi manusia.
“Ia akan memastikan tiada salah laku atau penyalahgunaan kuasa oleh pendakwa raya yang mewakili Malaysia dan rakyat dalam pentadbiran keadilan jenayah,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.
Antara NGO yang mengeluarkan kenyataan tersebut ialah Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), Center for Orang Asli Concerns (Coac), Gindol Initiative for Civil Society Borneo, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Aliran.
Pada 4 September tahun lalu, mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah yang melibatkan jutaan ringgit Yayasan Akalbudi.
Timbalan pendakwa raya berkata permohonan DNAA itu dibuat berdasarkan 10 atau 11 alasan, antaranya untuk membolehkan siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap terhadap kes Zahid.

Ini berlaku walaupun Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Zahid untuk membela diri pada 24 Januari 2022 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada 17 Dis tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan seorang aktivis untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua penceramah Muslim yang didakwa menghina agama dan amalan bukan Islam.
Presiden Global Human Rights Federation, S Shashi Kumar, yang merupakan pemohon, berkata mahkamah merujuk kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk menolak permohonannya.
“Mereka (hakim) mengatakan bahawa kami tidak boleh meneruskan pendakwaan persendirian kerana Perkara 145, kerana peguam negara memegang kuasa eksekutif untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan sesuatu kes atau tidak.
“Perkara 145(3) memberikan kuasa penuh kepada mereka dan kami tidak boleh mempersoalkannya,” katanya seperti yang dilaporkan.
Sehubungan itu, NGO-NGO tersebut menggesa kerajaan mempercepatkan usaha memisahkan Pejabat Peguam Negara daripada Pejabat Pendakwa Raya.
Mereka berkata langkah ini adalah untuk memastikan tiada lagi persepsi bahawa pendakwa raya bertindak atas arahan perdana menteri atau kerajaan.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui bahawa pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya bukan sekadar pembahagian tanggungjawab, tetapi langkah penting dalam mengekalkan integriti pejabat tersebut.
“Beliau juga menyatakan bahawa kertas kabinet mengenai perkara ini dijangka siap pada pertengahan 2025.
“Kami berharap pindaan yang diperlukan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan dapat dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, dan Malaysia akhirnya akan mempunyai pendakwa raya dan peguam negara yang bebas menjelang suku ketiga tahun ini,” tambah mereka.
Pada 8 Mei tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said bersama delegasi Malaysia menjalankan kajian terperinci mengenai konsep pengasingan kuasa diamalkan di Kanada.

