malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Suspek bunuh wanita peniaga makanan ditahan di Terengganu
ADS

Polis berjaya menahan seorang suspek kes pembunuhan melibatkan seorang wanita yang juga peniaga makanan sebagai mangsanya, awal pagi tadi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Polis Pahang, suspek ditahan kira-kira jam 5.30 pagi di sebuah rumah dalam kawasan perumahan dekat kawasan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Terengganu.

"Tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang dan Terengganu.

"Pihak polis berjaya merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen daripada suspek untuk membantu siasatan.

ADS

"Permohonan tahanan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini," kata kenyataan itu.

Menurut polis, mereka percaya kes bunuh membabitkan seorang peniaga wanita terbabit selesai dengan penahanan suspek terbabit.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," tambah kenyataan itu.

Semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agar suspek kes bunuh berkenaan diberkas segera.

ADS

Baginda turut mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku selain menyifatkan kejadian yang menimpa mangsa sebagai kejam dan tidak berperikemanusian.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan menyantuni keluarga peniaga makanan itu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan semalam.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, ketika ditemui media semalam turut memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti suspek kes pembunuhan kejam itu.

"Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tapi menetap di sekitar daerah Kuantan.

"Polis sedang menyiasat motif utama jenayah ini memandangkan pemeriksaan awal mendapati barangan kemas milik mangsa hilang ketika mayat ditemui," katanya.

Dia turut memberitahu suspek pernah membuat pesanan makanan daripada mangsa sebelum ini.

"Mungkin suspek pernah nampak mangsa pakai banyak barang kemas ketika menghantar pesanan, cuma polis masih siasat motif sebenar kejadian," katanya.

Yahaya turut memaklumkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen