Kementerian Perpaduan Negara hari ini mengadakan program di Kuala Lumpur dengan melibatkan kira-kira 250 peserta pelbagai agama yang mengunjungi beberapa rumah ibadat.
Diadakan hubungan sesetengah pihak di negara ini dilihat bermasalah, menterinya Aaron Ago Dagang berkata, program Jejak Harmoni tu bertujuan untuk meningkatkan persefahaman antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat berbilang agama.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua agar tidak mensensasikan atau mempolitikkan program ini kerana ia tidak melibatkan sebarang aktiviti keagamaan.
“Objektif program ini ialah untuk meningkatkan kefahaman tentang masyarakat berbilang agama dan budaya yang kita ada, yang mesti kita hormati dan terima.
“Menerusi program ini, rakyat digalakkan melihat isu-isu dari perspektif positif dengan menekankan konsep asas integrasi nasional iaitu persefahaman, hormat-menghormati dan penerimaan, yang akan memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat kita sentiasa terpelihara,” kata Aaron ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Sentul itu.
Tambahnya lagi, rakyat Malaysia disaran supaya mengamalkan sikap berhati-hati ketika menyuarakan pandangan mereka mengenai perkara berkaitan agama.

Aaron turut menyeru agar pertubuhan agama di negara ini mengambil bahagian dalam menganjurkan program yang menggalakkan keharmonian negara dan menyebarkan mesej keamanan kepada pengikut mereka.
Berdasarkan jadual perjalanan, para peserta memulakan lawatan mereka di Masjid Al-Hidayah di Sentul Pasar sebelum berjalan ke rumah ibadah agama lain di kawasan berhampiran, termasuk Gereja Katolik St Joseph, Kuil Hindu Ahthi Eeswaran, Vihara Buddha Sri Lanka, dan Sentul Gurdwara Sahib.
Di setiap hentian, kata kementerian itu, peserta diberi taklimat oleh pihak pengurusan rumah ibadat terbabit dengan berkongsi nilai yang diajar mengikut agama masing-masing..
Program itu berlangsung hanya beberapa hari selepas satu lagi polemik agama dicetuskan di negara ini berhubung cadangan supaya menteri yang menjaga hal ehwal bukan Islam diwujudkan dalam kabinet.
Cadangan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Raub Chow Yu Hui daripada DAP telah menerima tolakan hebat daripada pemimpin politik dan kumpulan Islam lain, sebelum kabinet semalam menolaknya sebagai pendapat peribadi Chow.
Perbahasan mengenai cadangan itu juga menyaksikan Kementerian Perpaduan Negara mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggap mereka tidak memainkan peranan secara proaktif.

