Ketua satu kabilah di Mesir, Ibrahim al-Organi, terus menguasai kemasukan bantuan dan lori komersial ke Gaza selepas gencatan senjata 19 Januari, menurut Middle East Eye (MEE).
Usaha membawa bantuan ke Gaza selepas gencatan senjata menjadi rumit susulan bayaran melampau terhadap lori yang memasuki Gaza, dan kuasa diberikan kepada syarikat-syarikat milik Organi untuk menentukan lori mana yang boleh masuk, menurut sumber-sumber Mesir dan Palestin.
Lori yang membawa barangan komersial dikenakan sekurang-kurangnya $20,000, menurut sumber-sumber tersebut, manakala lori bantuan juga tertakluk kepada pemerasan sebelum menyeberang ke Gaza.
Organi ialah seorang ahli perniagaan Sinai, ahli politik dan ketua kabilah yang bersekutu dengan Presiden Abdel Fattah el-Sisi.
Nama Organi sinonim dengan keuntungan tidak rasmi daripada sekatan terhadap Gaza, terutamanya daripada rakyat Palestin yang terdesak cuba melarikan diri daripada konflik.
Tahun lepas, MEE mendedahkan bahawa Organi membuat sekurang-kurangnya $2 juta setiap hari daripada rakyat Palestin yang meninggalkan Gaza melalui Mesir, satu-satunya yang tidak dikawal secara langsung oleh Israel pada masa itu.
Satu lagi laporan mendedahkan bahawa syarikat-syarikat Organi mengenakan bayaran $5,000 kepada lori bantuan untuk masuk ke Gaza.
Kini, 16 bulan selepas perang, sumber-sumber di lintasan sempadan Rafah mendedahkan bahawa dua syarikat yang dikaitkan dengan Organi mengambil alih semua operasi berkaitan penghantaran bantuan, dan meminggirkan Bulan Sabit Merah Mesir.
"Ini telah membuka pintu kepada rasuah, kerana bayaran dibuat untuk mengutamakan laluan lori tertentu berbanding yang lain."
"Bulan Sabit Merah, sudah tentu, tidak dapat mencabar mereka, dan kehadirannya hanya menjadi simbolik."
MEE telah menghubungi kerajaan Mesir, Bulan Sabit Merah Mesir dan Kumpulan Organi untuk mendapatkan komen tetapi tidak menerima sebarang jawapan ketika laporannya diterbitkan semalam..
Sebelum perang Oktober 2023, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 lori bantuan memasuki setiap hari untuk memenuhi keperluan populasi seramai 2.3 juta orang yang hidup bawah sekatan Israel sejak 2007.
Jumlah lori yang memasuki Gaza turun dengan ketara selepas serangan dan sekatan total yang dikenakan oleh Israel sejak 9 Oktober 2023.
Selepas perjanjian gencatan senjata disepakati pada 19 Januari, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa kemasukan 600 lori sehari dalam tempoh enam minggu pertama sebagai keperluan mendesak untuk mengurangkan krisis kemanusiaan.