malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kapal pengangkut pesawat AS berlanggar dekat Mesir
Diterbitkan:  Feb 14, 2025 10:44 AM
Dikemaskini: 2:44 AM
ADS

GLOBAL | Kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz AS, USS Harry S Truman, berlanggar dengan kapal dagang Besiktas-M berhampiran Mesir, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pengumuman tentera laut pada Khamis.

Menurut agensi berita itu, kejadian berlaku lewat Rabu di Port Said pada jam 11.46 malam waktu tempatan di Laut Mediterranean.

US Sixth Fleet Public Affairs mengesahkan perlanggaran itu tidak menjejaskan Truman, dan tiada laporan mengenai banjir atau kecederaan berlaku.

“Sistem pendorongan kapal tidak terjejas dan berada dalam keadaan selamat serta stabil,” menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa juga mengumumkan siasatan sedang dijalankan.

Harry S Truman - yang berpengkalan di Norfolk, Virginia - merupakan antara kapal perang terbesar di dunia.

Ia berukuran 333 meter panjang dan mampu membawa kira-kira 90 pesawat.

Besiktas-M pula merupakan kapal pengangkut pukal yang berdaftar di Panama. Ia berukuran 188.5 meter panjang.

Laman sesawang Marine Traffic melaporkan kapal tersebut dalam pelayaran dari Port Said ke Constanta, Romania.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen