KOLUM | Presiden Donald Trump komited untuk memiliki Gaza. Sudah empat kali beliau menyebutnya, iaitu ketika sidang akhbar bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan dua kali semasa berada di pejabatnya di Oval Office, White House.
Sekali lagi apabila Raja Abdullah Hussain dari Jordan bertemu beliau. Kali ini, katanya, rakyat Palestin perlu tinggalkan Gaza dan tidak kembali lagi.
Semua negara kecuali Israel di dunia yang memberi respons membantahnya, baik Mesir, Jordan dan Arab Saudi mahupun Rusia, China dan Jerman.
Malah Canselor Olaf Scholz menyatakan bahawa Jerman tetap mahukan penubuhan sebuah negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Beliau mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diperbaiki mengambil alih pentadbiran Gaza daripada Hamas. Namun begitu Scholz sedang menghadapi cabaran dari parti konservatif, Alternatif untuk Jerman (AfD), sebuah parti yang sefahaman dengan Trump.
Malah tokoh kanan Trump, Elon Musk telah turut berkempen untuk parti itu. Maka jika AfD menang, mereka mungkin menyokong rancangan Trump itu.
Penegasan Trump terhadap pemilikan Amerika ke atas Gaza juga dibuat untuk memadam keraguan banyak orang yang menyangka kemungkinan Trump “berjenaka” atau hanya menguji reaksi semua pihak. Ini kerana pengumumannya pada 4 Februari mengejutkan semua pihak, baik para wartawan mahupun ahli politik. Apa yang dicadangkan itu bukan saja “di luar kotak” seperti menurutnya sendiri tetapi “di luar otak” iaitu tidak masuk akal.
Namun, Trump serius terhadap Gaza seperti mana beliau juga serius terhadap perolehan Terusan Panama, Kanada dan Greenland. Presiden Justin Trudeau dalam kenyataan tertutup mengarahkan persediaan Kanada dalam menghadapi kemungkinan pencerobohan masuk tentera Amerika. Begitu juga apabila Perdana Menteri Mette Frederiksen mengarahkan Denmark supaya bersedia dengan kekuatan ketenteraan bagi menghadapi sebarang pendaratan tentera Amerika di Greenland. Ada seorang senator Republikan dari Georgia malah mencadangkan agar Greenland boleh ditukar nama kepada Blue, White and Redland, iaitu warna bendera Amerika.

Kanada dan Denmark tidak akan mampu berdepan kekuatan tentera Amerika. Presiden Emmanuel Macron menyatakan bahawa Perancis akan membantu Denmark mempertahankan Greenland. Ada seorang rakyat Kanada di media sosial mengharapkan bahawa negara-negara Komanwel yang dianggotainya turut tampil membantu negaranya berhadapan dengan Amerika. Negara yang dimaksudkan tentulah United Kingdom dan Australia. Trump telah memecah-belahkan dunia Barat.
Bantuan AS pada Mesir
Tetapi dalam menghadapi realiti, Trump telah mengubah sedikit pendiriannya terhadap Gaza. Walaupun kehendaknya terhadap Gaza tidak berubah tetapi ia tidak lagi menyebut mengenai penggunaan kuasa ketenteraan. Ini kerana banyak penyokong menolak penggunaan kekuatan tentera di luar Amerika. Dalam sasar “America First” (Amerika Utama) yang dijanjikan oleh Trump, tentera Amerika tidak patut dihantar ke Gaza, Greenland dan Kanada. Ia hanya boleh digunakan di sempadan Amerika-Mexico bagi menghalang kemasukan migran tanpa izin dan kartel dadah Fentanyl.
Maka Trump akan mengelak penggunaan tentera. Beliau hanya menggunakan tekanan politik dan ekonomi. Ke atas Kanada, ia menggunakan kenaikan tarif. Begitu juga ke atas Denmark. Tekanan kenaikan tarif akan dkenakan ke atas Kesatuan Eropah (EU) yang mana Denmark menjadi anggota.
Jadi Trump dijangka akan menekan Mesir dan Jordan untuk menerima penduduk Gaza. Pada masa ini Amerika memberi bantuan kepada Mesir. Bantuan itu telah diberikan sejak tahun 1978 ekoran persetujuan Camp David Accords di mana Mesir bersetuju untuk tidak berperang dengan Israel, selanjutnya mengiktiraf kewujudannya. Ketika itu Mesir dipimpin oleh Presiden Anwar Sadat, Israel dipimpin oleh Perdana Menteri Menachem Begin dan Amerika diketuai oleh Presiden Jimmy Carter.
Bantuan Amerika itu penting bagi Mesir. Jika ia dihentikan, pasti ia menjejaskan banyak aspek kehidupan Mesir. Trump telah menghentikan semua bantuan ke negara luar kecuali Israel dan Mesir. Jika Mesir enggan menuruti kehendak Amerika, ia akan menghentikan bantuan itu.
Tetapi dari awal Presiden Abdel Fattah As-Sisi dengan tegas menolak untuk menerima sebarang penduduk Gaza, dan sanggup berperang jika ia dipaksa untuk melakukannya.
OIC wajar bersidang
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio beberapa hari lalu, Sisi menyatakan bahawa rakyat Palestin khususnya warga Gaza telah banyak kali dizalimi. Adalah tidak adil untuk meminta mereka meninggalkan kampung halaman mereka.
Tetapi apakah Mesir bersedia untuk berperang lagi demi Gaza? Apabila bantuan Amerika itu ditarik, bermakna perjanjian Camp David Accords terbatal. Ekoran daripada itu, peperangan akan meletus antara Mesir dan Israel. Dalam keadaan itu Mesir boleh menakluki Gaza untuk menubuhkan Palestin. Tetapi perang dengan Mesir membuka peluang untuk Israel bukan saja mengekalkan penguasaannya ke atas Gaza tetapi juga menakluk Sinai, iaitu wilayah yang turut tertera dalam gagasan Israel Raya atau Greater Syria.

Bolehkah Mesir mengalahkan Israel yang mendapat sokongan, dokongan dan banruan Amerika? Bagi mengelak perang, Mesir perlu menggunakan tindakan diplomatik, iaitu untuk memberi tekan pada Amerika. Langkah pertama, negara-negara Arab yang mendokong pembebasan Gaza dari Israel dan Amerika perlu bersatu. Presiden Sisi telah memanggil satu sidang kemuncak Liga Arab yang akan diadakan di Kaherah pada 27 Februari ini.
Liga Arab terdiri daripada 22 negara iaitu Mesir, Palestin, Jordan, Lubnan, Syria, Iraq, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Yaman, Sudan. Djibouti, Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi, Comoros, Mauritania dan Somalia.
Pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1945, menjelang penubuhan Israel iaitu pada tahun 1948. Liga Arab gagal hendak menghalang penubuhan Israel. Ia turut gagal mempertahankan Palestin. Ia juga gagal menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka. Ia juga gagal menghalang Israel daripada menakluk Gaza, Tebing Barat, Golan dan Lubnan Selatan. Dengan rekod ini, maka tidak boleh diharapkan bahawa mereka mampu menghalang Gaza daripada ditelan Amerika.
Tetapi menurut Raja Abdullah, satu pertemuan antara Mesir dan Arab Saudi akan diadakan di Riyadh. Presiden Sisi akan membentangkan cadangannya kepada Arab Saudi bagaimana dunia Arab boleh menampung kehendak Trump. Selepas diterima oleh pihak Arab Saudi, barulah negara-negara Arab yang lain membincangkannya. Di pihak Arab Saudi ialah rajanya, Raja Salman Abdulaziz dan putera mahkotanya, Mohammed bin Salman.
Untuk menguatkan sokongan terhadap Palestin, sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajar bersidang. Terdapat 57 anggota. Maknanya selain 22 negara Arab itu, anggota-anggota lain ialah Turki, Albania, Azerbaijan, Kazakhstan. Tajikistan, Turkmenistan. Kyrgyzstan, Uzbekistan, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Malaysia, Indonesia, Brunei, Maldives, Tanzania, Mali, Nigeria, Niger, Benin, Sierra Leone, Guinea, Guinea-Bissau, Mozambique, Gambia, Senegal, Togo, Chad, Burkina Faso, Gabon,Cameroon, Uganda, Ivory Coast, Djibouti, Guyana dan Suriname.
OIC ditubuhkan pada tahun 1968 ekoran pembakaran Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. OIC tidak cukup berpengaruh untuk menghalang Israel dan Amerika melakukan sesuka hati mereka ke atas Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa. Jadi apa yang diharapkan daripada mereka. Namun, negara penting OIC dalam menghadapi soal Gaza ini ialah Turki dan Iran.
Ibu segala bom
Paksaan Amerika terhadap Jordan adalah lebih mudah. Trump telah menyatakan akan menghentikan bantuan kepada Jordan. Bantuan itu diberikan srjak tahun 1967 apabila Israel menakluk Tebing Barat dan Gaza. Penduduk-penduduk Tebing Barat dan Gaza telah lari dari peperangan. Sebanyak 20 perayus penduduk Jordan adalah pelarian Palestin dan keturunannya. Tanpa bantuan itu, Jordan tidak perlu terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Ia juga menyatakan kesediaan untuk perang jika dipaksa menerima penduduk Gaza. Tetapi seperti Mesir, Jordan tidak akan mampu.
Namun pertemuan Raja Abdullah dengan Trump di Washington pada Selasa lalu, pihak Amerika bersetuju untuk meneruskan lagi penghantaran bantuan. Jordan pula bersedia mengambil 2,000 kanak-kanak Gaza yang sakit termasuk mereka yang menghidap kanser. Raja Abdullah berusaha mengatasi masalah ini secara diplomatik.
Sehingga kini hanya Hamas yang akan berdepan dengan tentera Israel dan Amerika jika mereka memasuki Gaza. Hamas menghentikan pembebasan tebusan kerana Israel melanggar perjanjian gencatan senjata. Mereka menembak mati tiga orang Palestin di Gaza. Israel juga menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan.

Trump memberi amaran pada Hamas bahawa jika mereka tidak membebaskan tebusan yang selebihnya pada Sabtu ini, “neraka akan dilepaskan kepada mereka“. Maknanya Trump akan membenarkan untuk Israel serang semula Gaza, kali ini dengan bom lebih besar, bom yang telah diizinkan supaya dihantar kepada Israel.
Bom bernama “Mother of All Bomba itu” atau “Ibu Segala Bom” (MOAB) itu mampu menembus tempat-tempat di bawah tanah di mana pejuang Hamas menyembunyikan diri.
Walaupun begitu, bom itu kelihatannya bukan bertujuan untuk digunakan di Gaza, tetapi ia lebih ditujukan kepada Iran, untuk memusnahkan fasiliti mereka.
Sehingga kini, hanya dua negara yang bersedia untuk berdepan dengan Israel secara ketenteraan, mereka ialah Iran dan Yaman. Kelihatannya Israel dan Amerika tidak mahu menyelesaikan perkara ini secara diplomatik dan menghormati undang-undang antarabangsa seperti mana negara-negara bertamadun patut lakukan.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

