malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suhakam kecam disekat siasat pencabulan hak asasi di Penjara Taiping
Diterbitkan:  Feb 13, 2025 10:20 PM
Dikemaskini: 2:20 PM
ADS

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam keras tindakan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalang pegawainya daripada menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah.

“Tindakan ini bukan sahaja menghalang siasatan bebas, tetapi juga bertentangan dengan kuasa statutori Suhakam di bawah Akta 597,” katanya pada satu kenyataan malam ini.

Suhakam berkata tindakan menyekat suruhanjaya itu daripada menyiasat insiden di Penjara Taiping bulan lalu perlu diselesaikan dengan segera bagi memastikan ketelusan.

"Suhakam menyuarakan kebimbangan serius bahawa kes ini melibatkan kematian dalam tahanan, selain beberapa banduan lain yang turut mengalami kecederaan.

"Keluarga tahanan berhak mendapatkan penjelasan, dan dalam kepentingan keadilan bagi semua pihak, Suhakam seharusnya diberikan akses untuk menyiasat serta mengesahkan fakta secara bebas," kata suruhanjaya itu lagi.

Sementara itu, Suhakam berkata pihaknya telah memaklumkan secara rasmi kepada Jabatan Penjara mengenai hasrat untuk merekodkan keterangan seorang banduan di Pusat Koreksional Batu Gajah pada 17 Januari 2025.

Walaupun kelulusan rasmi telah diberikan oleh Ibu Pejabat Jabatan Penjara, pegawai Suhakam tidak dibenarkan berbuat demikian setelah tiba di lokasi, dengan alasan siasatan polis masih berjalan.

Menurut Suhakam, lawatan siasatan yang dijadualkan ke Penjara Taiping dari 12 hingga 14 Februari turut dibatalkan atas alasan sama.

Dakwaan banduan dipukul

Pada 27 Januari lalu, Jabatan Penjara mengesahkan satu insiden berlaku di Penjara Taiping melibatkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke penjara berkenaan.

Namun, pihak Jabatan Penjara tidak memberikan butiran lanjut mengenai sifat sebenar provokasi tersebut.

Kenyataan itu dibuat susulan mesej tular di akaun Edisi Siasat di Telegram yang mendakwa seorang tahanan meninggal dunia selepas insiden pergaduhan di Penjara Taiping yang berlaku antara 16 hingga 17 Januari.

Bagaimanapun, peguam parti Urimai, Shamser Singh Thind pada 27 Jan mendakwa banduan ditembak dengan gas pemedih mata dan dipukul oleh pegawai penjara, dengan butiran kejadian itu dirahsiakan daripada keluarga mereka.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 11 Feb berkata siasatan kes kematian seorang tahanan Penjara Taiping dipercayai akibat dipukul bulan lepas masih berjalan.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga telah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan maklum balas berkaitan insiden terbabit.

“Pada masa sama Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut menghubungi saya untuk menyatakan hasrat mereka berjumpa dengan pihak terlibat.

“Kita (KDN) akan beri kerjasama penuh, tetapi proses ini perlu dilakukan secara tertib dan berperingkat.

"Apa yang penting Jabatan Penjara sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memberi kerjasama penuh kepada semua pihak berkepentingan dalam menyiasat insiden ini,” kata menteri itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen