malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siswa, NGO sambut baik pindaan akta perhimpunan aman
Diterbitkan:  Feb 13, 2025 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM
ADS

Kumpulan pelajar Suara Mahasiswa UMS, yang sebelum ini menganjurkan beberapa siri perhimpunan anti-rasuah, menyambut baik cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 serta melaksanakan moratorium terhadap siasatan di bawah salah satu peruntukannya.

Bagaimanapun, kumpulan itu berpendapat kerajaan perlu melangkah lebih jauh dengan memastikan penganjur perhimpunan tidak berdepan sebarang bentuk gangguan daripada pihak berkuasa.

"Masih terdapat aspek yang perlu diteliti kerajaan dalam meminda akta ini, seperti jaminan tiada bentuk intimidasi dari pihak berkuasa.

"Jangan ada sebarang bentuk ugutan, tekanan dan ancaman dikenakan kepada penganjur atau peserta perhimpunan aman pada sebelum, semasa dan selepas perhimpunan diadakan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Suaram: Pindaan hapus sekatan birokrasi

Sementara itu, NGO hak asasi manusia Suaram turut mengalu-alukan langkah kerajaan, berkata pindaan ini akan menghapuskan sekatan birokrasi yang memberi kuasa budi bicara kepada pihak berkuasa dalam menentukan sama ada sesuatu perhimpunan boleh diadakan atau tidak.

"Bagi perhimpunan yang diadakan di tempat awam, pindaan ini bukan sahaja mengiktiraf hak orang ramai terhadap ruang awam, tetapi juga memperkukuhkan peranan polis sebagai pemudah cara, bukan sekadar pengawal yang menyekat perhimpunan," katanya.

Namun, Suaram berpandangan proses pemakluman dalam PAA masih perlu diperbaiki bagi memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman benar-benar dilindungi.

NGO itu mencadangkan keperluan pemakluman lima hari sebelum perhimpunan tidak seharusnya terlalu ketat, kerana ini boleh menyekat perhimpunan spontan bagi membantah perkembangan mendesak.

Proses pemakluman juga kata Suaram perlu dipermudahkan, contohnya dengan menyediakan borang pemakluman secara dalam talian dan membenarkan penghantaran digital.

"Dalam perhimpunan seperti Women's March tahun lalu, notis yang dihantar secara fizikal oleh penganjur tidak diterima oleh polis hanya kerana isu teknikal seperti borang yang tidak lengkap.

"Suaram menyeru kerajaan untuk menyemak semula borang dan prosedur pemakluman supaya hanya maklumat penting yang diperlukan untuk memudahkan perhimpunan diminta, bagi mengelakkan halangan pentadbiran yang tidak perlu yang boleh menjejaskan hak berhimpun secara aman," katanya.

Bersih: K'jaan perlu runding semua pihak

Dalam perkembangan berkaitan, NGO reformasi pilihan raya Bersih menggesa kerajaan untuk mengadakan rundingan dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan pindaan yang dilakukan benar-benar mencerminkan keperluan dan kehendak rakyat.

Mereka juga menuntut kerajaan menghentikan segala bentuk intimidasi terhadap aktivis dan pejuang hak asasi, sekiranya benar-benar komited dalam memelihara kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman, dengan menghapuskan keperluan di bawah Seksyen 11 yang mewajibkan penganjur mendapatkan kebenaran pemilik premis sebelum mengadakan perhimpunan.

"Ini bermakna keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang disebut di bawah beberapa seksyen, akan dipinda dan diketepikan," katanya memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Anwar juga memaklumkan semua siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 11 akan dihentikan.

Bagaimanapun, dia menolak cadangan untuk mengurangkan tempoh pemakluman perhimpunan daripada lima hari ke dua hari, menjelaskan perhimpunan berskala besar memerlukan lebih banyak masa dan persiapan.

Terus tekan Hajiji, Musa Aman

Sementara itu, Suara Mahasiswa UMS, yang sebelum ini menganjurkan perhimpunan antirasuah di Kota Kinabalu pada malam Tahun Baru 2023, berikrar akan terus menekan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor untuk meletakkan jawatan berikutan skandal rasuah yang melanda negeri itu.

Mereka juga menentang pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

"Sebagai mahasiswa, kami sentiasa percaya bahawa perhimpunan atau demonstrasi merupakan salah satu mekanisme demokrasi yang penting dalam menyampaikan suara rakyat dan menuntut perubahan.

"Maka, Suara Mahasiswa UMS akan terus menjalankan peranan sebagai suara yang radikal dalam memastikan hak ini tidak sekadar termaktub dalam buku undang-undang tetapi benar-benar dipraktikkan dan dilaksanakan secara adil," kata kumpulan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen