Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menganggap spekulasi yang dimulakan pemimpin Bersatu mengatakan pilihan raya umum (PRU) mengejut kemungkinan diadakan hujung tahun ini menunjukkan parti itu sudah kehabisan modal.
Menteri besar Pahang itu juga menggambarkan dakwaan itu hanya persepsi untuk menyebabkan pihak lain kelam kabut.
"Itu kerja dialah, dia suka buat persepsi supaya orang kelam kabut, (sampai) pemikiran pun tak boleh fokus pada kerja-kerja.
"Tapi bagi kami, kami terus buat kerja (seperti biasa). Dia tak ada modal, apa yang dia rasa teringat nak cakap, dia cakaplah," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang, hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy merasmikan Konvensyen Muafakat Felda Pahang di Auditorium RTM Pahang.
Turut hadir Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali menerusi hantaran di Facebook pada 8 Feb lalu membayangkan kemungkinan berlaku PRU mengejut hujung tahun ini.
Katanya, perkara itu antara yang ditegaskan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti digerakkan segera.
Muhyiddin juga, kata Azmin, mengeluarkan arahan supaya audit kekuatan jentera Bersatu dimulakan di semua negeri khususnya kawasan tumpuan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Wan Rosdy bagaimanapun memaklumkan pembangkang akan tampil dengan helah lain jika PRU mengejut seperti diramal mereka tidak menjadi kenyataan.
"Pilihan raya esok, lusalah... esok dia cakap benda lain pula... jadi bukan benda yang peliklah dengan mereka ini," jelasnya.
Sebagai perbandingan, sejak PRU ke-14 pada 2018 yang menyaksikan pertama kali Barisan Nasional (BN) tumbang, kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah kerajaan paling lama bertahan, menjangkau usia dua tahun pada Nov tahun lalu.
Tidak sampai satu penggal atau kurang lima tahun selepas PRU-14, pentadbiran kerajaan persekutuan bertukar tiga kali.
Tiga kerajaan sebelum ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad bertahan 22 bulan; Muhyiddin (17 bulan) dan Ismail Sabri Yaakob hanya bertahan 13 bulan.