malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin Madani belajar di sekolah jalanan, tak lupa daratan - Saifuddin
ADS

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menolak pandangan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah berubah sikap selepas berkuasa.

Ketua setiausaha PH itu menegaskan pemimpin gabungan itu yang kebanyakannya bermula dari perhimpunan jalanan, tidak akan melupakan asas perjuangan mereka.

"Baru-baru ini, antara perhimpunan yang banyak mendapat perhatian adalah himpunan mengenai anti rasuah. Rata-rata reaksi ketika itu menggambarkan seolah-olah ini adalah sebuah kerajaan yang lupa daratan.

"Bila sudah ada kedudukan mereka ini sikap sebaliknya, itu gambarannya. Itu tidak benar.

"Sebenarnya, pemimpin yang ada sekarang sebenarnya graduate dari sekolah jalanan.

“Tidak pernah kami lupa daratan," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

K'jaan pinda Akta Perhimpunan Aman

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, dengan menghapuskan syarat mewajibkan penganjur mendapatkan kebenaran pemilik premis sebelum mengadakan perhimpunan.

Menurutnya, sejak mengambil alih Kementerian Dalam Negeri (KDN), dia menegaskan pihak polis hanya menolak 2 ke 3 peratus daripada jumlah permohonan perhimpunan yang diterima.

"Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2023, sebanyak 10,000 pemakluman perhimpunan dibuat kepada polis, dengan 98 peratus perhimpunan berlangsung tanpa sekatan.

“Pada tahun 2024, lebih 7,000 pemakluman diterima, dan 99 peratus dibenarkan," kata menteri itu.

Jelas Saifuddin sebahagian kecil perhimpunan menghadapi isu bukan kerana sekatan kerajaan, tetapi disebabkan oleh lokasi yang tidak mendapat kebenaran pemilik premis.

"Hanya dua hingga tiga peratus perhimpunan menghadapi isu kerana lokasi yang tidak mendapat kebenaran pemilik premis, bukan kerana tindakan menyekat oleh kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan kerajaan bersetuju untuk meminda peraturan ini dan meletakkan syarat itu dalam moratorium sehingga pindaan dilaksanakan.

"Sama ada kita setuju atau tak, kebenaran mendapatkan pemilik premis sudah ada dalam akta itu, dan kena mematuhi.

"Tapi, yang itu sekarang bersetuju untuk dipinda dan sehingga dipinda syarat itu akan moratorium," jelasnya lagi.

Anwar: Pindaan permudah himpunan aman

Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan setuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, bagi menghapuskan syarat mendapatkan kebenaran pemilik tempat sebelum sesuatu perhimpunan dianjurkan.

"Ini bermakna keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang disebut di bawah beberapa seksyen, akan dipinda dan diketepikan.

"Seksyen 11 akta yang memerlukan kelulusan daripada pemilik premis atau penduduk, yang dipertikaikan sekarang, ini akan dikeluarkan daripada peraturan sedia ada," katanya.

Bagaimanapun, menurut Anwar, penganjur masih perlu memaklumkan rancangan perhimpunan kepada polis sekurang-kurangnya lima hari lebih awal.

Langkah ini diambil bagi memastikan pihak berkuasa dapat mengawal keselamatan, lalu lintas, dan kelancaran perhimpunan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen