PARLIMEN | Dua bekas perdana menteri menolak penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyatakan kenaikan tarif elektrik kepada industri dan golongan berpendapatan tinggi tidak akan menjejaskan 85 peratus isi rumah golongan rakyat biasa.
Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menegaskan kenyataan tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana kenaikan tarif tetap akan memberi kesan kepada pengguna.
"Kerajaan juga menyatakan bahawa kenaikan ini hanya melibatkan kira-kira 15 peratus golongan 'maha kaya' dan industri.
"Namun saya ingin tegaskan lumrahnya, kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna yang juga terdiri daripada 85 peratus isi rumah tersebut," katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Anwar menjelaskan kenaikan tarif elektrik hanya akan melibatkan pengguna industri dan golongan 'maha kaya' serta menegaskan majoriti rakyat tidak akan terkesan oleh kenaikan tersebut.
Ismail Sabri turut membandingkan kadar kenaikan tarif elektrik sejak 2015 hingga 2022, dengan peningkatan yang berlaku hanya sekitar 3.7 peratus, daripada 38.53 sen per kilowatt kepada 39.95 sen per kilowatt.
Namun, katanya tarif asas bagi tahun 2024 hingga 2027 mengalami lonjakan 14.18 peratus, meningkat daripada 39.95 sen per kilowatt kepada 45.62 sen per kilowatt.
"Malah, seperti yang dinyatakan oleh S&P Global sebelum ini, bagaimana pengusaha akan dapat bertahan kerana mereka terpaksa menurunkan harga produk eksport untuk kekal bersaing dalam perang ekonomi dan dengan kenaikan tarif ini, mereka terpaksa menanggung beban yang lebih tinggi.

"Apakah perancangan kerajaan untuk mendepani kos sara hidup yang akan terus meningkat," soalnya.
Sementara itu, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dalam perbahasannya turut bersetuju kenaikan tarif elektrik ini akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan.
Dia menyuarakan kebimbangan rakyat kini bukan sahaja berdepan dengan harga barang keperluan yang melambung, tetapi juga kenaikan cukai SST dan pelaksanaan cukai baru.
"Ini belum lagi mengambil kira rancangan kerajaan untuk menaikkan tarif asas elektrik dan penyasaran subsidi RON95 menjelang pertengahan tahun ini.

"Meskipun Tambun (Anwar) memberi jaminan kenaikan tarif elektrik hanya dikenakan kepada pengguna industri dan golongan ‘maha kaya’, realitinya kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14.2 peratus bagi tempoh kawal selia 4 (RP4) di bawah kerajaan sekarang jauh lebih tinggi berbanding kerajaan terdahulu.
"Apakah jaminan kerajaan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak akan terjejas boleh dipercayai," soalnya.
Muhyiddin turut menekankan kos operasi syarikat yang meningkat akibat kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan syarikat-syarikat memindahkan beban kos kepada pengguna akhir.
"Ini kerana jika kos operasi syarikat meningkat akibat kenaikan tarif elektrik, mereka tentunya akan memindahkan kos kepada pengguna akhir, iaitu rakyat yang akan menanggung beban kenaikan harga barang dan perkhidmatan," katanya.
Gesa bertegas isu Palestin
Dalam perkembangan lain, dua bekas perdana menteri itu turut menggesa kerajaan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan langkah segera di peringkat antarabangsa untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.
Mereka sependapat kerajaan tidak boleh sekadar membuat kenyataan rasmi, tetapi perlu bertindak lebih proaktif dalam menangani isu ini.
"Saya turut bersetuju dengan pendirian rakan-rakan ahli arlimen yang lain supaya satu usul khas dibentangkan di dewan yang mulia ini, khusus untuk membincangkan tentang kegilaan Trump dan kezaliman yang masih tiada noktah buat saudara kita di Gaza," kata Ismail.