Seorang timbalan menteri daripada Parti Warisan hari ini berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya sedar akan keperluan untuk mempercepatkan siasatan yang sedang berjalan berhubung skandal rasuah Sabah.
Ketika ditemui di parlimen, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Yusof Apdal menyifatkan dakwaan melibatkan seorang pemberi maklumat, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan lapan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai isu kepentingan awam.
"Kes ini melibatkan kepentingan awam. SPRM sudah tentu sedar ia kes kepentingan awam, jadi mereka pasti tahu keperluan untuk mempercepatkan siasatan.
"Lebih cepat mereka selesaikan siasatan, lebih puas hati orang ramai," kata ahli parlimen Lahad Datu itu.

Ketika diminta mengulas tentang kemungkinan skandal rasuah Sabah memberi kesan kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International pada tahun depan, Yusof mengakui kedudukan Malaysia yang tidak berubah pada tangga ke-57 tahun ini mungkin mencerminkan persepsi kurangnya pengawasan terhadap isu berkaitan rasuah.
"Namun, saya percaya kerajaan tahu apa yang perlu dilakukan supaya kedudukan kita tidak merosot tahun depan.
"Perdana menteri telah menyatakan bahawa beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk menangani isu rasuah di negara ini.
"Ia bukan hanya mengenai kes dari Sabah sahaja, tetapi perlu meliputi seluruh negara bagi mempengaruhi indeks global kita," katanya.
Kritikan Bersatu dan reaksi Yusof
Semalam, Timbalan Ketua Sabah Bersatu, Affan Jumahat dalam reaksinya terhadap ranking terbaru Transparency International Malaysia (TI-M), menegaskan empat bulan telah berlalu sejak skandal rasuah Sabah muncul namun tiada tindakan diambil.
Dia mendakwa kegagalan bertindak itu membuktikan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membanteras rasuah hanyalah satu ilusi.

Namun, Yusof tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin Bersatu itu malah dia menyatakan keyakinan terhadap komitmen Anwar dalam membanteras rasuah.
"Perdana menteri pasti akan mengambil tindakan selepas menerima laporan penuh mengenai apa yang sedang berlaku.
"Tidak adil untuk membuat kenyataan awal seperti itu.
"Apabila beliau menerima laporan penuh daripada pihak berkuasa, sudah tentu agensi penyiasatan akan melaporkannya kepada beliau, dan kemudian barulah beliau akan tahu apa yang perlu dilakukan," kata Yusof.
SPRM buka siasatan baru
Pada 25 Januari, SPRM mengumumkan telah menyelesaikan dua siasatan berkaitan skandal Sabah.
Bagaimanapun, minggu lalu, SPRM terpaksa membuka siasatan dari sudut baru selepas pemberi maklumat mendakwa terdapat tawaran untuk menyelesaikan isu ini secara tertutup, sekali gus mengaitkan Adun Membakut, Arifin Arif (gambar bawah).

Arifin, yang juga menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman menafikan dakwaan tersebut.
Hajiji, dalam reaksinya menolak dakwaan rasuah itu sebagai satu usaha untuk mencemarkan pentadbirannya malah mendakwa pemberi maklumat mungkin bekerjasama dengan individu yang mempunyai kepentingan politik tertentu.