malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: Maklumat 'terlalu sikit' sukarkan siasatan - Azam
Diterbitkan:  Feb 13, 2025 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM
ADS

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata kekurangan maklumat menjadi cabaran terbesar dalam menyiasat dakwaan skandal rasuah Sabah.

Bagaimanapun, dia menegaskan tiada campur tangan politik dalam kes ini berkata SPRM memerlukan saksi yang sesuai bagi memastikan dakwaan itu kukuh.

“Dalam kes ini, whistleblower berkenaan masih tidak mahu kongsi video berkaitan, jadi maklumat (video diterbit Malaysiakini) kita ada itu terlalu sedikit dan sukarkan siasatan kami,” katanya kepada Astro Awani.

Azam menekankan kekurangan maklumat ini menyukarkan SPRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh.

“Pada saya tidak adil salahkan Kerajaan Negeri Sabah atas ketidakpatuhan undang-undang atau mungkin isu tadbir urus, kerana ini tiada campur tangan mana-mana pihak.

"Kalau ada, sudah tentu orang awam tidak tahu perkembangan kes ini,” katanya

Mengulas dakwaan tawaran kepada pendedah maklumat menyelesaikan isu itu, Azam memberi jaminan siasatan akan diselesaikan secepat mungkin.

Tegasnya lagi, SPRM perlu mempunyai bilangan saksi yang mencukupi bagi membina kes yang kukuh.

“Namun demikian apabila timbul isu baru yang telah dilaporkan sebuah portal, maka saya telah arahkan pegawai penyiasat teruskan siasatan dengan panggil saksi yang berpatutan, saksi yang sesuai untuk memperjelas isu dilaporkan portal berkenaan,” katanya.

Sejak November, Malaysiakini menerbitkan lebih lapan video serta pelbagai tangkap layar mesej WhatsApp yang berkaitan dengan kes ini.

Individu yang mendakwa dirinya pemberi maklumat, seorang ahli perniagaan berkata video-video tersebut merakam perbincangan tentang rasuah yang ditawarkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.

Semasa perbincangan itu, para Adun, termasuk mereka yang memegang portfolio kanan, turut mengaitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dengan dakwaan agihan lesen sebagai "hadiah" balasan atas sokongan mereka semasa krisis politik negeri pada tahun 2022.

Bagaimanapun Hajiji menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai usaha untuk mencemarkan pentadbirannya serta mendakwa pemberi maklumat tersebut bekerjasama dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Pada 5 Februari, peguam pemberi maklumat Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan anak guamnya masih memiliki banyak lagi video serta tangkap layar tambahan mesej WhatsApp berkaitan kes ini.

Sebelum ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata video yang diterbitkan oleh Malaysiakini menunjukkan “bukti jelas” berlakunya rasuah dan memenuhi definisi “suapan” seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen