PARLIMEN | Kerajaan mengakui perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan berlakunya pengeluaran saham di negara ini.
Bagaimanapun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan jumlah pengeluaran itu sangat kecil iaitu 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan saham sebanyak RM2 trilion.
Menurutnya perkara itu perlu dilihat secara keseluruhan iaitu kenyataan bahawa sembilan bulan pertama masih Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menggalakkan.
"Nilai pelaburan juga dalam sembilan bulan pertama 2024 naik 10.7 peratus ketimbang pada tempoh sama 2023, ini kenaikan yang besar.
“Dan ini juga termasuk syarikat-syarikat besar, saya sebut Infineon, Geely, Amazon, Microsoft dan ini memberi gambaran terhadap keyakinan dan pegangan asing.
"Apabila kita beri umpamanya pengeluaran dana seolah-olah merudum keyakinan asing, tengok angka, dia kekal pada 19 peratus, pada 2023, 19.5 peratus dan pada 2024 (akhir 2024) bertambah 19.7 peratus.
“Maknanya pegangan itu, Januari 2025 masih 19.4 peratus, jadi 0.2 peratus itu tidak menggambarkan keyakinan kepada ekonomi negara," katanya.

Dia berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini, sebagai menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) mengenai punca ramai pelabur asing menjual pegangan saham mereka dalam negara bagi tempoh kebelakangan ini.
Anwar (PH-Tambun) berkata, jika dilihat ekuiti global firma penyelidikan menaikkan taraf pengesyoran mereka bagi saham-saham syarikat awam.
"Kita lihat umpamanya syarikat-syarikat yang ada, kalau mata penutup sehingga Februari 2025, memang jatuh 2.4 peratus di Malaysia, 6.1 peratus di Indonesia, 7.4 peratus jatuh di Filipina, dan 8.3 peratus jatuh di Thailand.
"Ini kesan yang menyeluruh di seluruh dunia, tetapi syarikat- syarikat, baik institusi kewangan dan syarikat-syarikat masih mencatat keuntungan besar, Maybank peningkatan 9.7 peratus, CIMB 12.3 peratus, Public Bank, 5.8 peratus.
"Jadi gambaran tentang merudum kerana adendum ini mimpi apa ini? Angka dari mana? Dicedok dari mana? (sebanyak) 0.2 peratus turun daripada RM2 trilion. Istilah jatuh dan merudum itu salah penggunaan bahasa, yang saya faham," katanya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal, tambah perdana menteri, semua indikator ekonomi negara meningkat, diakui oleh semua termasuk pendidikan.
"Dan saya telah sebut angka-angka ini, tapi dia masih pertahankan bahawa 0.2 peratus itu walaupun tinggi kejatuhannya di Thailand, Filipina dan Indonesia, tetapi 0.2 peratus itu sahaja angka yang menyebabkan hilang sama sekali keyakinan, tidak apalah itu pandangan Machang, sebab itu Machang tidak maju," kata Anwar.
Sementara itu dalam sidang media selepas itu Hamzah Zainudin (PN - Larut) menyatakan rasa kecewa menyifatkan Anwar memperkecilkan Wan Ahmad Fayshal.
"Saya tidak berniat untuk bangkit dan mempersoalkan mana-mana soalan, tetapi apabila saya melihat perdana menteri yang menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Machang saya tak puas hati.
"Sepatutnya perdana menteri apabila soalan dijawab begitu tak payahlah nak memperkecilkan sesiapa, terutamanya ahli parlimen Machang memperkecilkan Machang tak maju, dia baru jadi wakil rakyat Machang dua tahun, sudahlah peruntukan tak ada," ujarnya.