PARLIMEN | Seorang wakil rakyat Sabah mengambil peluang membangkitkan kesedian kerajaan Madani dalam melunaskan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Vernon Bahanda (Bebas - Kudat) tampil mengulangi kata-kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa diucapkan semasa kempen PRU ke-15 lalu, yang dengan tegas mengatakan bahawa perkara MA63 ini tidak perlu dirunding lagi dan perlu dilaksanakan.
Dia antara lain membangkitkan soal tuntutan 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen di seluruh negara.
"Demi keseimbangan politik, Kudat senada dengan ahli-ahli parlimen dari Sabah yang lain, bahawa persempadanan semula kawasan parlimen perlu dibuat untuk memenuhi tuntutan yang termaktub dalam MA63.
"Itu hak mutlak Sabah dan Sarawak, satu pertiga atau 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi di parlimen, demi memberikan keadilan yang saksama dari segi pemberian peruntukan dan suara di parlimen.
"Mengambil contoh parlimen Kudat, mempunyai keluasan melebihi keluasan negeri Melaka yang kini mempunyai seorang ahli parlimen dan empat adun, manakala berbanding negeri Melaka yang mempunyai enam ahli parlimen dan 28 adun. Di manakah keadilannya di sini?" soalnya.
Dia berkata demikian pada sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Vernon turut menuntut kerajaan Madani memberikan satu tempoh yang jelas untuk semua perkara yang termaktub dalam MA63 yang menjadi hak Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan.
Dia juga berkata kerajaan Madani tidak mempunyai masa terlalu lama untuk melunaskan janji-janji yang dibuat oleh pemimpin yang berada dalam kerajaan sekarang bagi melaksanakan perjanjian itu, manakala rakyat sedang menilai pencapaian kerajaan.
"Saya ulang sekali lagi kata-kata hikmah perdana menteri. Perjanjian MA63 tidak perlu dirunding lagi, hanya perlu dilaksanakan saja.
“Asas penubuhan negara Malaysia adalah Perjanjian MA63 yang mana perjanjian ini telah diterjemahkan dalam buku perlembagaan yang kita junjung selama ini.
"Selama lebih 60 tahun kami rakyat Sabah menjunjung dengan setia Perlembagaan Persekutuan, dan berpegang teguh lima prinsip Rukun Negara. namun tiada guna kesetiaan jika bertepuk sebelah tangan di pihak yang satu, berpuluh tahun menodai keluhuran perlembagaan," tegasnya.
Bagaimanapun Vernon mengakui bahawa pencapaian dalam penyelesaian MA63 telah mencapai tahap yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.
"Sebagai ahli parlimen dari Sabah yang bertanggungjawab saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada perdana menteri atas komitmen dalam merealisasikan tuntutan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian MA63.
"Mengikut jawapan bertulis yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri II yang diberikan kepada saya pada 29 Okt lalu, ada 11 perkara yang telah diselesaikan dalam MA63.
"Kita perlu akui bahawa pencapaian dalam penyelesaian MA63 ini telah mencapai tahap yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kerajaan sebelum ini," katanya.

