PARLIMEN | Seorang wakil rakyat pembangkang mempersoalkan sama ada pesawat helikopter AW149 yang akan dibekalkan oleh syarikat Weststar Aviation Services Sdn Bhd kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu atau tidak untuk melakukan tindakan underslung seperti mengangkut meriam artileri 105 milimeter (mm) pack howitzer.
Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN- Tanah Merah) berkata, dia tidak memerlukan huraian panjang lebar mengenai isu berkenaan, sebaliknya menuntut jawapan “boleh atau tidak” daripada Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, pada sesi penggulungan nanti.
"Saya mohon Menteri Pertahanan sewaktu menggulung, persoalan saya ini untuk tidak perlu menghuraikan panjang atau cuba menjawab secara helah, kerana saya cuma minta beliau jawab ringkas sahaja.
"Sama ada boleh atau tidak untuk helikopter AW149 ini melaksanakan tindakan underslung meriam 105mm pack howitzer sebagaimana keupayaan helikopter Nuri yang telah dilucut tauliah pada 2019," katanya ketika sesi perbahasan titah diraja hari ini.
Underslung merujuk kepada kemampuan sesebuah helikopter untuk membawa beban di luar pesawat udara.
Ikmal yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan mendakwa, ada sesuatu yang tidak kena dengan kontrak (sewaan) sekiranya pesawat helikopter AW149 yang kononnya paling canggih dan paling baru itu tidak boleh melakukan tindakan unserslung.
"Kenapa Kementerian Pertahanan perlu bersetuju dengan perbekalan helikopter AW149 untuk kegunaan ATM sekiranya ia tidak boleh melaksanakan tindakan basic underslung yang sudah biasa dilaksanakan oleh pesawat Nuri dan juga 12 buah pesawat EC725 sedia ada?
"Bukankah ini fungsi utama di dalam doktrin operasi pesawat helikopter milik ATM, antaranya bagi melaksanakan tindakan keperluan ulang bekal (resupply) di pos-pos terpencil, operasi latihan payung terjun pasukan khas serta tindakan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan bencana.
"Ini belum lagi menyentuh aspek keupayaan lain seperti terbang dalam keadaan pelbagai cuaca seperti hujan lebat, ribut atau waktu malam mahupun mengejar bot-bot pancung penceroboh di kawasan sempadan maritim Malaysia," ujarnya lagi.
Tambah ahli parlimen Bersatu itu lagi, dia sangat skeptikal terhadap kemampuan helikopter AW149 yang akan digunakan oleh ATM dalam kontrak Gocom (government operate, company own and maintain) mampu melaksanakan tindak kerja bersifat tempur atau ketenteraan.

