malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua penternak lembu S'gor ditahan, didakwa halang penjawat awam
ADS
  • Dikemas kini dengan maklumat tambahan.


Dua pemilik haiwan ternakan yang sebelum ini mendesak agar pengusiran lembu mereka dari ladang milik syarikat berkaitan kerajaan, SD Guthrie Bhd, dihentikan, telah ditahan polis sebentar tadi.

Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R Vijayagandi, mengesahkan perkara itu dan berkata kedua-dua pemilik ternakan tersebut kini ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dua individu yang ditahan ialah Muraly Manohar, 41, dan Vickneswaran Manohar, 39.

ADS

"Sekitar jam 11 pagi tadi, sekumpulan pihak berkuasa telah datang ke ladang SD Guthrie untuk menangkap lembu, tetapi mereka (Muraly dan Vickneswaran) ditahan polis kerana menghalang penjawat awam.

Gambar hiasan.

“Mereka telah dibawa ke Balai Polis Sabak Bernam dan kini ke Balai Polis Sungai Besar," katanya.

Vijayagandi berkata dia difahamkan mereka akan dibawa ke hadapan majistret esok untuk mendapatkan perintah reman.

Mengulas lanjut mengenai penahanan tersebut, Vijayagandi mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwa bertindak di luar batas undang-undang.

Menurutnya, ladang terbabit terletak di kawasan tanah persendirian dan sebarang tindakan memerlukan perintah mahkamah.

"Kawasan terbabit adalah tanah persendirian dan kalau di tanah persendirian, apa yang kami difahamkan, pihak berkuasa perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum boleh mengambil haiwan ternakan."

Gambar hiasan.

"Dan di sini memang agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Veterinar, Pejabat Tanah dan Majlis Daerah semua masuk ke kawasan terbabit dan buat tangkapan.

"Kebiasaannya, kalau ia melibatkan tanah kerajaan, memang agensi kerajaan ada hak dan kuasa untuk menghalau mana-mana pihak yang berada dalam tanah terbabit.

“Tetapi, mengikut undang-undang, jika mahu mengusir mana-mana pihak dari kawasan tanah persendirian, perintah mahkamah diperlukan, dan situasi sama perlu diterapkan dalam kes SD Guthrie ini," katanya.

Menurut R Vijayagandi, dia juga kesal dengan tindakan melulu yang diambil oleh pihak berkuasa.

Gambar fail, bantahan penternak.

Katanya, pihaknya kini sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung pengusiran lembu mereka dari ladang milik syarikat berkaitan kerajaan, SD Guthrie Bhd.

"Penternak ini bukan baru di sini, mereka sudah berada di sana selama tiga hingga empat generasi dan memang SD Guthrie tahu (keberadaan mereka)."

ADS

"Lagi pun, sekarang kita sedang mengadakan rundingan dengan KPKM.

“Jadi, SD Guthrie tidak boleh menggunakan agensi kerajaan untuk menghalau kami keluar dari sana.

Gambar fail, bantahan penternak.

“Sebaliknya, mereka perlu melalui saluran yang betul iaitu mendapatkan perintah mahkamah."

"Tetapi apa yang berlaku ini seolah-olah mereka bersubahat dengan agensi kerajaan dan saya pun hairan bagaimana kerajaan negeri membantu SD Guthrie (dalam pengusiran ini)," katanya.

Dakwanya tindakan kerajaan negeri yang disifatkan bertentangan dengan polisi kerajaan pusat.

"Pegawai khas Menteri Besar (Amirudin Shari) sebelum ini memaklumkan mereka akan mengadakan satu mesyuarat khas dan sehingga mesyuarat ini diadakan, jangan usik ladang ternakan ini.

"Tetapi sehingga kini tiada sebarang panggilan mesyuarat dibuat dan mereka tetap meneruskan tindakan.

“Justeru, kami mahu pengusiran ini dihentikan segera. Kita mahu mengadakan rundingan."

"Sebab tindakan kerajaan negeri ini bertentangan dengan polisi kerajaan pusat.

“Sebab sebelum ini, kita telah berbincang dengan Kementerian Pertanian di Putrajaya dan kini kita sedang cuba menyelesaikan isu ini secara harmoni.

Gambar fail, bantahan penternak.

“Kita dalam usaha membentuk SOP bagi memastikan ternakan lembu di ladang SD Guthrie dapat dikendalikan dengan baik dan secara lestari. Semua itu masih dalam proses," tegasnya.

Pada 22 Januari lalu, Malaysiakini melaporkan lebih 50 penternak dari ladang-ladang di Selangor berhimpun bagi menyerahkan memorandum menuntut campur tangan Menteri Besar Amirudin Shari susulan notis pengusiran yang mereka terima.

Mereka menuntut kerajaan negeri membatalkan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh SD Guthrie, yang mengarahkan mereka mengeluarkan haiwan ternakan dari kawasan ladang syarikat itu.

Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, S Tinagaran (gambar bawah) mendakwa notis pengusiran itu muncul selepas kenyataan exco berkenaan aktiviti penternakan lembu haram di ladang SD Guthrie, Sabak Bernam, bulan lalu.

Katanya, lebih 173 penternak telah menerima notis pengusiran ternakan mereka.

Bagaimanapun, SD Guthrie menjelaskan tidak timbul isu mengambil kesempatan atas kenyataan exco itu kerana perkara utama melibatkan keselamatan premis dan masyarakat.

Malah, syarikat itu menyatakan penternak sudah sedia maklum melepaskan lembu di kawasan ladang tersebut satu pencerobohan terhadap tanah premis peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen