malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
TI-M: Skandal Sabah mungkin jejaskan M'sia dalam indeksi persepsi rasuah
ADS

Skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin Sabah baru-baru ini berkemungkinan memberi kesan kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) global tahun ini.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan, berkata skandal itu, yang terbongkar pada penghujung tahun lalu, mungkin tidak direkodkan dalam CPI 2024 yang baru sahaja diterbitkan.

"Kemungkinan besar tidak, kerana ini berlaku pada hujung tahun (2024). Kebiasaannya, penyelidik CPI akan mengumpul data pada bulan Ogos atau September, jadi mungkin ia tidak direkodkan.

"Tetapi ia boleh direkodkan dalam CPI 2025 kerana ia berdasarkan persepsi. Jadi, itu adalah kedudukan kita sekarang," katanya dalam satu sesi taklimat di Petaling Jaya hari ini.

Muhammad (gambar atas) mendedahkan dalam taklimat tersebut bahawa kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 kekal tidak berubah di tangga ke-57 daripada 180 negara, selepas sekali lagi memperoleh 50 mata.

Denmark menduduki tempat teratas dengan 90 mata, manakala Singapura berada di tangga ketiga dengan 84 mata. Indonesia pula berada di kedudukan ke-100 dengan 37 mata, sementara Thailand di tempat ke-111 dengan 34 mata.

TI-M percaya ini disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk hukuman penjara dan denda yang dikurangkan selepas sabitan dalam kes berprofil tinggi, serta ramai individu yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes berprofil tinggi.

Dia kemudian ditanya sama ada dakwaan rasuah melibatkan wakil rakyat Sabah menjadi punca kedudukan Malaysia kekal tidak berubah.

Ditanya mengenai pihak berkuasa yang didakwa lambat bertindak dalam skandal tersebut, Muhammad menegaskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diguna pakai di Malaysia ketika ini menjadi cabaran utama.

Menurutnya, undang-undang itu menetapkan bahawa pemberi maklumat hanya boleh dilindungi jika mereka membuat aduan kepada agensi penguatkuasaan.

"Di bawah undang-undang ketika ini, mereka hanya boleh melaporkan kepada agensi penguatkuasaan. Jika laporan dibuat kepada pihak lain di luar agensi penguatkuasaan, maka mereka tidak boleh dianggap sebagai pemberi maklumat.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi mengapa individu itu memilih untuk tidak melaporkan (kepada pihak berkuasa) walaupun mempunyai peluang.

"Jadi, secara teknikalnya, dalam undang-undang negara kita, individu itu tidak boleh dianggap sebagai pemberi maklumat kerana dia memilih untuk mendedahkannya kepada media, dan ini menjadi satu cabaran berdasarkan undang-undang kita sekarang," katanya.

Sejak November lalu, Malaysiakini melalui satu siri laporan mendedahkan dakwaan beberapa pemimpin Sabah menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan untuk menyokong kelulusan lesen cari gali mineral.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen