malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tebatan banjir: Ternyata telahan saya betul, kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Feb 11, 2025 8:59 AM
Dikemaskini: 12:59 AM
ADS

Selepas satu lagi gelombang banjir, bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dia terbukti betul mengenai projek tebatan banjir yang dibatalkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan semalam, Tuan Ibrahim berkata dia telah mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia boleh mengalami kerugian lebih besar daripada kos projek itu jika ia ditangguhkan.

"Hari ini terbukti telahan saya benar apabila kita dilaporkan, negara mengalami nilai kerugian akibat banjir pada tahun 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, termasuklah kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta.

"Sudahlah beras tempatan pun susah untuk didapati dipasaran, pengeluaran hasil padi pula terjejas dengan bencana banjir. Malahan, yang terbaru, banjir di Sabah dan Sarawak menambahkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu alami banjir yang buruk pada akhir tahun 2024,” kata pemimpin PAS itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Dia menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai berpandangan jauh dalam melindungi kepentingan rakyat, manakala keputusan Anwar pada 2022 untuk membatalkan projek itu adalah terlalu awal.

“Peliknya cara berfikir PMX (Anwar), selepas terlewat tiga tahun, kini baru tersedar betapa pentingnya projek tebatan banjir yang beliau batalkan dahulu.

"Jika beliau tersedar dari awal, tak perlulah beliau menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sampai ke tengah malam seperti yang dilaporkan akhbar hari ini (Isnin),” katanya.

Semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, Anwar dilaporkan memberitahu penjawat awam bahawa proses tender projek tebatan banjir mengambil masa terlalu lama dan telah mengarahkannya disegerakan.

“Saya meminta, jika boleh, kelonggaran diberikan supaya projek-projek ini dapat disegerakan melalui peruntukan segera.

“Kenapa kita tekankan proses tender? Kerana saya telah memerhatikan bahawa apabila kita bergantung kepada rundingan, cenderung berlaku lebihan dan ketirisan. Oleh itu, sebaiknya gunakan sistem tender.

“Bagaimanapun, tender kadangkala boleh mengambil masa terlalu lama untuk projek biasa dan mereka yang terjejas akibat banjir tidak mampu menunggu,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Pada Disember 2022, Anwar telah menghentikan projek tebatan banjir RM7 bilion yang sebelum ini diluluskan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, apabila Tuan Ibrahim memegang portfolio Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Projek-projek itu telah dihentikan atas alasan ia diluluskan melalui tender rundingan langsung.

Pada masa itu, Tuan Ibrahim mempertahankan projek itu dengan mengatakan bahawa tender rundingan langsung adalah wajar dalam situasi kecemasan, dan projek itu mengikut prosedur dan garis panduan Kementerian Kewangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen