Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh digesa menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung garis panduan kontroversi yang dicadangkan untuk umat Islam.
Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong memuji titah baginda dan menekankan Akmal juga seharusnya akur dengan keputusan Kabinet yang telah memutuskan isu garis panduan bagi penyertaan umat Islam dalam acara di rumah ibadat bukan Islam.
"Harap Akmal Saleh junjung titah sultan selangor, dan juga akurlah dengan keputusan kabinet yang dibuat sebab adalah tanggungjawab semua ahli politk khususnya yang berada dalam kerajaan, untuk jaga keharmonian kesejahteraan semua kaum dan agama di tanah air ini.
"Enough is enough. Simple as that (Mudah saja. Cukup-cukuplah)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, Akmal membantah pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai garis panduan yang dicadangkan, berkata garis panduan itu boleh dijadikan rujukan yang berguna.
Namun, hanya beberapa jam kemudian, Sultan Sharafuddin secara tegas menolak cadangan garis panduan itu, sambil menzahirkan keyakinan umat Islam hari ini memahami batasan akidah mereka, iman yang teguh serta bijak membezakan antara yang benar dan yang salah.
Woo turut menegaskan sebagai anggota kerajaan perpaduan, Akmal tidak sepatutnya bersaing dengan pembangkang untuk menjadi juara konservatif, apatah lagi menentang Anwar.
"Sebab ini telah diputuskan oleh seluruh kabinet yang merangkumi semua menteri Umno dan sepatutnya Dr Akmal Saleh selaku ketua Pemuda Umno harus akur dengan keputusan tersebut.

"Sebarang sesiapa ahli politik yang cuba memainkan isu tersebut ataupun terus memanjangkan polemik tersebut adalah ada satu niat saja iaitu ingin menjatuhkan kerajaan perpaduan.
"Kalau Akmal nak bertindak seolah-olah sebagai ejen Perikatan Nasional, lebih baik Akmal letak jawatan dan menyertai PAS daripada terus menjadi musuh dalam selimut dalam kalangan kerajaan perpaduan," kata Woo.
Dengan keputusan yang telah dimuktamadkan, Woo menasihati Akmal agar tidak cuba menjadi ‘hero’ atau menentang keputusan kerajaan demi kepentingan perpaduan dan keharmonian negara.
Isu ini tercetus ketika sesi Dewan Rakyat pada 5 Februari lalu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Na’im Mokhtar mendedahkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan garis panduan baru bagi umat Islam yang menghadiri acara di rumah ibadat bukan Islam.

Cadangan tersebut termasuk keperluan penganjur acara mendapatkan kelulusan pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan kehadiran umat Islam serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Mengulas mengenai perkara ini, Woo berkata isu berkenaan tidak wajar dipersembahkan sebagai isu berkaitan Islam atau campur tangan dalam urusan umat Islam.
Dia memberikan contoh jika penganjur pada awalnya dimaklumkan bahawa hanya dua orang Islam akan menghadiri acara tersebut, tetapi pada hari kejadian, sepuluh orang hadir,
Adakah penganjur akan dipertanggungjawabkan atau adakah lapan lagi peserta Muslim itu juga akan dikenakan tindakan, soal Woo.