Sekretariat Rakyat Benci Rasuah memberi amaran untuk menggerakkan rakyat untuk bangkit melawan rasuah.
Kali ini, menurut jurucakapnya, Muhammad Fakrurrazzi Khairul Rijal, insiden itu melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan kronisme dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, dakwaan itu yang mengaitkan ahli lembaga penasihat DBKL, Afdlin Shauki adalah bukti jelas bahawa institusi itu sedang dicemari dengan rasuah.

“Dakwaan projek bernilai RM4 juta yang dikendalikan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Yayasan Wilayah Persekutuan (KSKYWP) sepatutnya melalui proses tender terbuka yang sah.
“Namun, ia telah didakwa diselewengkan dan disalurkan kepada syarikat milik kroni Afdlin Shauki.
“Ini bukan sahaja satu jenayah ekonomi tetapi satu penghinaan kepada rakyat yang membayar cukai dan berharap untuk melihat pentadbiran yang bersih dan amanah,” katanya kepada pemberita di hadapan pintu utama Menara (DBKL), di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Fakrurrazzi hadir bersama kira-kira 15 orang yang berkumpul di pintu utama Menara DBKL bagi menyerahkan memorandum berhubung dakwaan salah laku perolehan beberapa projek DBKL.
Antaranya, dakwaan itu dikatakan membabitkan karya kreatif, pelakon komedi itu yang juga adalah ahli lembaga penasihat DBKL.

Memorandum itu kemudiannya diterima oleh pegawai khas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Noraiha Noordin yang berkata pihaknya mengambil maklum dengan tuntutan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah dan akan menelitinya.
Sementara itu, Muhammad Fakrurrazzi yang ditemui wartawan berkata pihaknya meragui siasatan dalaman yang dijalankan kerana ia penuh dengan konflik kepentingan.
“Bagaimana mungkin kita mengharapkan siasatan yang adil apabila individu yang terlibat dalam jenayah ini sendiri merupakan sebahagian daripada lembaga pengurusan yang bertanggungjawab terhadap siasatan tersebut?
“Kami beranggapan ini adalah taktik yang jelas untuk menutup kesalahan dan membiarkan mereka yang berselindung di sebalik kuasa terus bermaharajalela. Rakyat tidak akan dibohongi lagi,” katanya.
Justeru, dia mendesak tindakan tegas dan tanpa sebarang penangguhan atau kompromi.
“Dua perkara ini wajib dilaksanakan. Pertama, Afdlin Shauki perlu direhatkan daripada jawatannya buat sementara waktu sebagai ahli lembaga penasihat DBKL kerana boleh mempengaruhi siasatan.
“Kedua, kami menggesa campur tangan SPRM dan kami mahu kuasa untuk menyiasat diberikan sepenuhnya kepada badan penyiasat itu kerana DBKL tidak layak untuk menyiasat dirinya sendiri dalam kes ini.
“Kami juga tidak mahu lagi siasatan yang tertutup dan terhad, kami mahu ketelusan dan akauntabiliti,” katanya sambil memberi amaran bahawa jika semua tuntutan itu tidak dipenuhi pihaknya tidak akan berdiam diri.
“Jika DBKL terus membisu dan gagal bertindak kami tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan rakyat untuk bangkit melawan korupsi ini secara lebih keras,” katanya.
Akaun Telegram Edisi Siasat sebelum ini menyiarkan mesej menuduh pelakon yang kini menceburi politik itu terlibat dengan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Bagaimanapun, pelakon komedi itu menafikan dakwaan tersebut dan berkata tuduhan terhadapnya adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan imejnya dan bermotifkan cemburu serta dendam.
Susulan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif dilaporkan mengesahkan bahawa DBKL telah melancarkan siasatan dalaman berikutan dakwaan itu.
Setakat ini, SPRM dikatakan belum membuka kertas siasatan dengan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, semalam berkata pihaknya sedang meneliti dokumen-dokumen yang dikemukakan untuk siasatan dalaman DBKL.

