Pendakwah bebas Ustaz Husam bingung kenapa akaun pusat tahfiz itu masih dibeku sedangkan siasatan terhadap aktivis politik yang meminta wang daripadanya telah dibuat SPRM.
Hanya mampu bertahan dua bulan lagi, itulah luahan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Husam Baderudin, mengenai kelangsungan pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emas yang dikendalikannya.
Menurutnya, situasi ini berlaku selepas akaun yayasan yang membiayai pusat tahfiz dan aktiviti amalnya dibekukan, susulan tindakan khianat seorang aktivis politik yang cuba mendapatkan wang daripada yayasan tersebut.
Akibat laporan polis yang dibuat aktivis itu, akaun yayasan dibekukan untuk siasatan, katanya.
Namun, meskipun siasatan telah dijalankan, Husam akaun itu masih belum dibuka semula, menyebabkan kesukaran membayar gaji kakitangan dan menampung kos operasi.
"Kita hanya mampu bertahan sekitar dua bulan lagi. Jika akaun terus dibekukan, nasib maahad tahfiz kami mungkin terpaksa ditutup.
"Kita mempunyai 130 pelajar pra-tahfiz, 23 pelajar maahad tahfiz dan 30 orang warga emas. Buat masa ini, kita tidak boleh lagi menerima kemasukan baru meskipun ada permintaan daripada orang ramai.
"Begitu juga dengan warga emas dan tok-tok pondok yang di bawah seliaan kita juga secara percuma.
"Macam-macam orang kacau, orang tak puas hati nak duit kami buat laporan polis, nak duit anak yatim, nak duit pelajar tahfiz," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Aktivis politik ditahan SPRM
Pada 5 November tahun lalu, seorang aktivis politik antara tiga lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada Ustaz Ahmad Husam.
Lelaki berusia antara 30an hingga 50an itu didakwa meminta wang daripada pendakwah selebriti tersebut kononnya bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram (AMLA) yang sedang dalam siasatan polis.
Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang dalam operasi sekitar Bedong, Sungai Petani dan di Pejabat SPRM Kedah.
Ustaz Husam dedah tekanan berterusan
Ustaz Ahmad Husam turut mendedahkan bahawa dia sudah tidak tahan diganggu oleh aktivis tersebut, menyebabkan dia terpaksa membuat laporan kepada SPRM.
"Saya tak tahan diganggu, tu yang saya buat laporan SPRM baru-baru ini.
"Saya buat laporan SPRM baru ini dan SPRM telah cekup orang yang nak duit tu, aktivis politik," katanya lagi.
Tambahnya lagi, selepas akaun yayasan dibekukan dia terpaksa menjual sebidang tanah, menjual kereta dan membiayai semula kediaman.
Semua ini dilakukan bagi mendapatkan dana untuk meneruskan operasi pusat tahfiznya yang kini berdepan risiko ditutup jika masalah pembekuan akaun tidak diselesaikan segera, jelasnya.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas lanjut pembekuan akaun ini daripada SPRM.

