malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak cukup korum salah k'jaan bukan pembangkang - Takiyuddin
ADS

PARLIMEN | Kerajaan tidak boleh menyalahkan pembangkang atas kegagalan memastikan bilangan ahli parlimen mencukupi semasa sesi perbahasan Sidang Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa pihak pembangkang tidak bertanggungjawab dalam memastikan kehadiran ahli Parlimen kerajaan ketika undang-undang dibahaskan.

“Dia tak boleh persoalkan (kehadiran pembangkang) sebelah kita, tak kira berapa orang ada dalam dewan dia ada berapa dan kita ada berapa, tak timbul dari segi undang-undang.

“Yang nak bahas ini undang-undang dia, RUU dia dan semua yang hendak dibangkitkan oleh kerajaan tapi tak cukup korum.

ADS

"Pokoknya, persidangan ditangguhkan kerana tak cukup korum,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin (PN-Kota Bharu) menempelak kerajaan Madani, dengan menyifatkan kegagalan memastikan kehadiran wakil rakyat di parlimen sebagai cerminan kelemahan pentadbiran.

“Dari senarai pihak kami PN, sepanjang Persidangan Parlimen ke-15 ini, berlaku sebanyak 10 insiden di mana persidangan ditangguhkan kerana tak cukup atau kurang korum.

“Ini kerajaan apa ini sampai tak cukup ahli dia untuk berada dalam dewan? Ini menggambarkan kerajaan yang ada ini gagal dalam memastikan ahli Parlimen dia hadir (sidang dewan).

“Jadi, bagi PN ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sebagai kerajaan yang kononnya ‘Madani’,” katanya.

Kecoh, pembangkang enggan berbahas

Persidangan Dewan Rakyat sesi petang semalam kecoh apabila beberapa wakil rakyat kerajaan bertikam lidah dengan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah).

Kekecohan bermula apabila Mas Ermieyati enggan memulakan ucapan perbahasan bagi Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, selepas mendapati bilangan ahli parlimen yang hadir tidak cukup korum.

Ketua Wanita Bersatu itu kemudian merujuk kepada Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat, yang menetapkan korum bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa seramai 26 ahli, tidak termasuk pengerusi.

Susulan itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau, meminta setiausaha dewan membunyikan loceng bagi mengumpulkan ahli parlimen.

Namun, tindakan Mas Ermieyati itu mendapat tentangan daripada beberapa wakil rakyat kerajaan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) menegaskan bilangan ahli parlimen yang hadir sudah mencukupi.

ADS

Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pula bangun dan menjelaskan kehadiran ahli parlimen berkurangan kerana mereka menghadiri taklimat.

Mas Ermieyati kemudian menenangkan keadaan, dengan menjelaskan ketika dia ingin berbahas, hanya 10 orang wakil rakyat berada dalam dewan.

Namun, RSN Rayer terus menekan Mas Ermieyati, dengan mempertikaikan mengenai kehadiran Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN pada sesi Dewan Rakyat.

Pertikaman lidah antara wakil rakyat terus berlarutan, menyebabkan Alice Lau mengarahkan bentara membuat kiraan semula, sebelum meneruskan sesi perbahasan selepas korum mencukupi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen