PARLIMEN | Blok pembangkang hari ini membangkitkan persoalan mengenai tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memfailkan notis untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman kes melibatkan Najib Razak.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan menegaskan permohonan berkaitan titah adendum yang dibawa oleh bekas perdana menteri keenam di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bukan persoalan undang-undang, sebaliknya persoalan fakta.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, Mahkamah Persekutuan sepatutnya hanya mendengar isu berkaitan undang-undang, justeru dia mempersoalkan kewajaran AGC memfailkan rayuan tersebut.
"Yang dibawa oleh Datuk Najib di dalam Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu dalam undang-undang dipanggil persoalan fakta, tidak ada banyak persoalan undang-undang.

“Apa persoalan faktanya? Pertama, ada ke tak ada adendum? Itu undang-undang ke? Ada atau tidak, itu fakta."
"Yang kedua, kalau ada adendum ini kuatkuasakan lah, undang-undang ke? Itu fakta,” katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.
AGC fail rayuan ke Mahkamah Persekutuan
Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman Najib Razak.
Dalam kenyataannya, AGC menegaskan rayuan tersebut dibuat kerana terdapat tafsiran undang-undang yang bercanggah antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Menurut AGC, rayuan itu turut melibatkan isu berkaitan undang-undang perlembagaan yang perlu diberi perhatian.
Bulan lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan dengan keputusan 2-1 untuk membenarkan Najib meneruskan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah yang didakwa dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Namun, sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan semakan kehakiman Najib.
PN dakwa AGC cuba gantung prosiding
Titah tambahan (adendum) yang ditandatangani oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dikatakan memberi kebenaran agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah, berbanding di Penjara Kajang.
Istana Pahang sebelum ini mengesahkan kewujudan adendum tersebut dalam surat yang dikemukakan di mahkamah.
Namun, peguam kerajaan berhujah titah adendum itu tidak dibincangkan semasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang, yang ketika itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Takiyuddin turut mendakwa berdasarkan salinan notis usul AGC yang diperoleh pihaknya, AGC meminta Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusan Mahkamah Rayuan.
"Apa yang penting sekali, salah satu daripada permohonan mereka adalah supaya mahkamah membuat satu perintah bahawa semua prosiding di Mahkamah Tinggi yang berlangsung sekarang digantung sehingga pelupusan rayuan mahkamah," katanya.