Dua persatuan berkaitan penganut Hindu membantah cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar untuk memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Dalam kenyataan berasingan, Majlis Kuil-Kuil & Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) dan Persatuan Hindu Malaysia (MHS) turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut yang dilihat sebagai tidak praktikal.
"Menteri telah melaksanakan tugas beliau namun beliau tidak boleh melarang mana-mana individu untuk terlibat perkara atau hal penganut selain agama Islam.
"Menteri harus ingat, pada tahun 2019, Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kita sekarang telah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Johor di Kuil Arulmigu Thendayuthapani.
"Dalam pada kita hidup bermasyarakat majmuk di bawah Kerajaan Madani, keputusan dan tindakan haruslah berpaksikan kesejahteraan rakyat," kata Presiden Mahima, N Sivakumar.

Sivakumar yang juga bendahari agung MIC menyarankan agar Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam ke-126, yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini memberi kelonggaran terhadap garis panduan tersebut.
"Saya sarankan supaya kelonggaran diberikan supaya ia dapat memberi pendedahan dan pengetahuan serta platform untuk semua penganut mengetahui cara dan kepelbagaian agama lain.
"Kita harus patuh pada Rukun Negara yang pertama iaitu, Kepercayaan Kepada Tuhan yang menjadi nadi kepada kesejahteraan negara kita," katanya.

Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Na’im mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan tersebut termasuk syarat mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Antara unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam termasuk ucapan dan lagu berkaitan agama; risalah agama, persembahan atau ucapan yang menghina Islam; penganjuran acara ketika waktu solat umat Islam; lokasi acara yang berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam atau tanah wakaf; serta premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.
Sementara itu, MHS menyorot bahawa peranan utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah untuk menyelia hal ehwal Islam dan membimbing masyarakat Islam.
Justeru, katanya, memperluaskan kuasanya ke atas orang bukan Islam dengan garis panduan itu adalah tidak wajar dan melampaui batas.
“Jika ada kebimbangan mengenai orang Islam yang menghadiri majlis bukan Islam, tanggungjawab itu harus terletak pada orang Islam sendiri untuk mendapatkan bimbingan, bukan orang bukan Islam untuk mengemudi lapisan birokrasi tambahan.
"Dasar yang memecah belah dan bukannya menyatukan adalah tidak produktif kepada semangat perpaduan Malaysia dalam kepelbagaian.
"Yang membimbangkan, cadangan ini telah muncul tanpa berunding dengan pihak berkepentingan utama, termasuk organisasi agama dan kumpulan masyarakat sivil.
“Sebarang dasar yang menjejaskan hubungan antara agama mesti digubal melalui dialog terbuka dan inklusif untuk memastikan keadilan, praktikal, dan menghormati semua masyarakat agama," kata pimpinan pusat MHS.
MHS juga menyeru kerajaan untuk melibatkan pemimpin agama dan masyarakat dalam perbincangan bermakna sebelum melaksanakan sebarang dasar yang menjejaskan interaksi antara agama.

