malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Bola sepak pro bukan tempat tagih simpati, subsidi
ADS

ULASAN SUKAN | Final Piala Malaysia pada 26 April ini mungkin terasa masih jauh lagi, namun ramalan dan cakap-cakap sudah bermula - siapa bakal juara bagi edisi kali ini.

Andai berpandu kepada aliran semasa bola sepak tanah air, jelas sekali ia satu persoalan yang mudah dijawab.

Pertarungan dua finalis - JDT dan Sri Pahang FC - di Stadium Nasional Bukit Jalil nampaknya tidak mungkin seimbang malah ramai sudah pun mula menyebut ia akan menjadi saingan 'berat sebelah’.

Pada pengamatan mereka JDT selaku juara bertahan memiliki segala ramuan untuk naik ke podium mendakap mahkota kejuaraan paling berprestij itu sekali lagi. Untuk rekod, mereka juga adalah juara pada 2022.

Jangan salah tafsir. Sebenarnya kita tiada sebarang niat untuk menidakkan kemampuan wakil dari Pahang pimpinan Fandi Ahmad. Kita harus ucapkan tahniah ke atas wakil dari Pantai Timur itu yang gah mara ke final selepas berselang 11 tahun.

Cuma hakikatnya pada saat ini, JDT dijarakkan satu atau pun dua kelas di hadapan pesaing mereka itu dengan dominasi agak menggerunkan.

Di sini penulis tidak berminat membicarakan panjang lebar mengenai prospek juara Piala Malaysia. Apa yang mahu diutarakan ialah kenapa situasi seperti ini berlaku dalam kancah bola sepak tanah air.

Macam sekadar melihat

Mengapa ketika ini hanya satu pasukan hampir menguasai semua gelaran setiap musim?

Apa sudah jadi dengan pesaing lain yang semakin lama semakin hanyut dalam cabaran masing-masing? Kita tidak dapat melihat ada usaha gigih atau kesungguhan mahu merapatkan jurang itu dan menjadikan persaingan bola sepak tempatan lebih menarik.

Usahlah pasukan lain mencemburui keperkasaan JDT, sebaliknya tanya pada diri sendiri - apa yang mereka sudah usahakan selama ini.

Apa yang kita dapat lihat ialah, setiap tahun Harimau Selatan itu bergerak ke hadapan dengan identiti sendiri.

Anehnya, pencabar yang lain semacam melihat sahaja.

Pada realitinya, JDT adalah pasukan yang sentiasa mahu maju. Tambahan pula pentadbiran dan pengurusan pasukan berkenaan dilihat tidak juga banyak mengharapkan subsidi atau geran daripada FAM.

Apakah pasukan lain tidak ada cita-cita besar? Atau pun apakah mereka beraksi hanya untuk menyudahkan jadual pertandingan? Atau pun mereka sekadar bermain untuk suka-suka?

Secara logik ia adalah antara persoalan yang harus berlegar kencang dalam minda peminat tanah air. Apa lagi peminat kerap melihat JDT mengungguli Liga Super sehinggakan seolah-olah pentas itu bagaikan milik mereka.

Pasukan Harimau Selatan itu sudah meletakkan penanda aras cukup tinggi dan mencabar pesaing lain seperti Kedah, Selangor, Terengganu, untuk mendekati mereka. Memang menyedihkan jika tiada siapa yang benar-benar bersedia mahu menyahutnya.

Apakah JDT sudah melangkah jauh ke hadapan atau pun sebenarnya pasukan lain kian yang mengundur dengan pelbagai masalah dalaman?

Daripada riak wajah mereka, kita juga dapat melihat kelompok ini seperti menagih simpati ketika berdepan krisis kewangan. Tetapi, sampai bila mahu berada pada kedudukan sebegini? Ini liga profesional dan sumber kewangan seharusnya sudah kukuh atau pun stabil.

Mustahil pasukan atau kelab sukar mendapatkan dana baik. Mungkin supremo pasukan boleh melakukan sesuatu seperti strategi pemasaran lebih baik untuk menarik penaja tampil bersama cabaran mereka.

Demi pulihkan imej negara

Tanya JDT caranya. Setidak-tidaknya kita dapat belajar dan sikap mahu belajar itu tidak salah.

Memang benar, kebanyakan pasukan atau kelab diuruskan secara hambar dan ini satu masalah yang berpanjangan sejak sedekad lalu.

Ini bererti persatuan negeri lain harus memulakan ‘kempen pembersihan diri’ dengan menyusun semula rumah masing-masing dan kembali ke landasan kejayaan untuk menidakkan penguasaan JDT.

Barulah bola sepak nampak hidup semula.

Ada juga difahamkan betapa penganjur kejohanan masih membenarkan pasukan yang berdepan masalah hutang besar untuk meneruskan cabaran mereka dalam kejohanan Liga Malaysia.

Harap ini tidak benar. Jika pun benar, harap boleh perbaiki segera kepincangan seperti ini. Minta nasihat atau bantuan sesiapa yang berkenaan demi memulihkan imej liga bola sepak negara.

Jangan terlalu mengharapkan FAM akan menjadi penyelamat pada setiap masa. Ini bukan era 1980 atau 1990-an lagi.

Kita tidak dapat nafikan betapa JDT mahu menang kejuaraan liga tempatan setiap musim untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit, umpamanya. Perwatakan dan kesungguhan ini yang berjaya membawa mereka ke tahap tertinggi pada hari ini.

Namun, oleh kerana mereka berdepan pasukan kurang kompetitif atau lemah dalam Liga-M, mereka juga sukar untuk menjelmakan perwatakan lebih garang apabila menentang kelab ternama dari Asia, khususnya dari Korea Selatan, Jepun, China atau pun Thailand.

Cuma kelebihan Harimau Selatan ialah, mereka dapat menimba pengalaman yang baik menentang lawan tersohor seperti ini setiap musim. Lebih banyak perlawanan bermutu seperti ini jelas membantu mereka kekal relevan selaku gergasi mutlak di Liga-M.

Di sini ada yang akan berkata, JDT macam tamak dan lebih mementing diri. Tapi sebenarnya niat mereka hanya mahu meningkatkan lagi persaingan dan kualiti dalam bola sepak tempatan.

Menyedihkan jika majoriti pasukan lain tidak melihat kepada realiti seumpama ini, sebaliknya lebih kerap membuang masa dengan merungut.

Sifat ini tidak akan menguntungkan mereka. Keluarlah dari zon selesa anda dan ilhamkan sesuatu untuk cuba merapatkan diri dengan JDT.

Kancah bola sepak profesional bukan tempat untuk menagih simpati atau subsidi.

Ini pentas untuk melakar nama untuk diri dan pasukan. Ia juga untuk membalas sokongan padu peminat negeri yang mengiringi cabaran mereka.

Jika bersedia, teruskan misi anda, namun jika masih terasa buntu, berundur sahajalah.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen