malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pembaharuan cukai bantu kurangkan ketidakseimbangan di M'sia - Bank Dunia
ADS

Malaysia memerlukan pembaharuan cukai untuk meningkatkan pendapatan tambahan bagi mengurangkan ketidakseimbangan, kata Bank Dunia.

Dalam laporan terbaharunya bertajuk “A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia" (Pendekatan Baharu untuk Kurangkan Ketidakseimbangan dan Tingkatkan Mobiliti di Malaysia) berkata negara perlu meningkatkan lebih banyak hasil menerusi cukai langsung dan tidak langsung.

“Pendapatan Malaysia (awam) bukan sahaja ketinggalan daripada hasil negara berpendapatan sederhana atas (UMIC) dan negara berpendapatan tinggi (HIC) tetapi juga purata negara berpendapatan sederhana rendah (LMIC).

“Disebabkan kutipan hasil rendah, ia mengehadkan perbelanjaan negara (perbelanjaan kerajaan),” kata laporan itu diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bank Dunia berkata data antarabangsa menunjukkan bahawa terdapat kos tetap untuk menguruskan kerajaan dengan jumlah perbelanjaan selain kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial secara relatifnya tetap sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merentas semua kumpulan pendapatan.

"Ini bermakna apabila hasil meningkat, ruang fiskal dicipta untuk perbelanjaan sosial yang lebih besar," katanya.

Menurut Bank Dunia, ketidaksamaan pendapatan di Malaysia menurun antara tahun 1970 dan 2022 tetapi penurunan itu terhenti sejak beberapa tahun lepas.

Ketidaksamaan seperti yang diukur oleh indeks Gini, merosot daripada 45 pada 2004 kepada 40 menjelang 2014. Ia kekal pada tahap itu sehingga 2019, sebelum pandemik COVID-19 dan menurun sedikit kepada 39, menurut data terkini dari 2022.

“Walaupun angkanya tidak begitu kecil, Gini Malaysia kekal lebih tinggi daripada yang dilihat untuk ekonomi negara maju yang boleh dicontohi,” kata Bank Dunia.

Institusi Bretton Woods berkata cukai pendapatan peribadi (PIT) boleh dilakukan secara lebih progresif dan menangani ketidaksamaan dalam agihan pendapatan.

Ia berkata bahawa pergantungan Malaysia terhadap cukai langsung adalah progresif tetapi pendapatan modal tidak dikenakan cukai dan cukai langsung melalui PIT adalah rendah iaitu kurang daripada 3.0 peratus daripada KDNK.

Anggaran daripada Model Mikrosimulasi Dasar PIT Malaysia mencadangkan bahawa menurunkan ambang pendapatan boleh cukai dan menggunakan kadar lebih tinggi pada golongan pendapatan lebih tinggi boleh meningkatkan hasil PIT antara RM2.5 bilion hingga RM2.8 bilion pada 2024 manakala mengenakan had pelepasan boleh menambah sekurang-kurangnya RM1.1 bilion lagi.

Selain itu, sekurang-kurangnya 1.0 peratus tambahan daripada KDNK boleh dikumpulkan daripada peningkatan kutipan PIT melalui pembaharuan khusus yang digariskan, ia bukan sahaja akan mewujudkan ruang fiskal tambahan, ia turut mengurangkan ketidaksamaan secara langsung dengan dibayar kebanyakannya oleh isi rumah yang lebih kaya, pada masa sama mengekalkan beban cukai pendapatan keseluruhan secara munasabah, katanya.

Bank Dunia berkata apabila pendapatan baharu meningkat, ruang fiskal dicipta untuk perbelanjaan sosial yang lebih besar.

Ia juga menyatakan bahawa Malaysia perlu meningkatkan perbelanjaan awamnya melebihi paras semasa untuk mencapai matlamat HIC dengan melabur dalam modal dan produktiviti, membolehkan gaji ditingkatkan.

“Malaysia dijangka menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2028-2030. Bagaimanapun, kurang daripada separuh daripada rakyatnya diunjurkan mempunyai pendapatan melebihi had HIC kerana pendapatan diagihkan tidak sekata.

"Pada 2022, hampir dua pertiga daripada penduduk memperoleh pendapatan kurang daripada pendapatan tinggi," menurut laporan itu.

Laporan Bank Dunia juga menunjukkan bahawa walaupun selepas mencapai status berpendapatan tinggi, Malaysia masih mempunyai perjalanan yang jauh untuk mengejar negara lebih maju.

“Seperti ekonomi lain di Asia Timur dan Pasifik, Malaysia menghadapi cabaran mengurangkan kesalingbergantungan/berpendirian berkecuali dan perubahan corak perdagangan serantau, penuaan penduduk yang pesat serta perubahan iklim,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen