Beberapa ahli parlimen ingin bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, berkenaan cadangan garis panduan baru untuk umat Islam yang menghadiri majlis yang diadakan di tempat ibadat bukan Islam.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dalam satu hantaran Instagram Story berkata garis panduan tersebut akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang sering dijemput menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
“Antara lain, ini akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang dijemput ke majlis berkenaan atas kapasiti mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih.
“Wakil rakyat Muslim yang menghadiri majlis ini jelas bukan untuk beribadat, tetapi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat yang diwakili.
“Sebahagian daripada kami ahli parlimen akan berusaha mengadakan pertemuan dengan menteri dan memberikan pandangan kami mengenai perkara ini,” kata Syahredzan.
Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Na’im mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan tersebut termasuk syarat mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Antara unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam termasuk ucapan dan lagu berkaitan agama; risalah agama, persembahan atau ucapan yang menghina Islam; penganjuran acara ketika waktu solat umat Islam; lokasi acara yang berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam atau tanah wakaf; serta premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.

Na’im berkata garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada penghujung bulan ini.
Menteri itu menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Saad Yahaya, yang meminta Jabatan Perdana Menteri memberikan garis panduan berkenaan sambutan keagamaan bukan Islam bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pihak yang membangkitkan isu mengenai perayaan pelbagai kaum di negara ini.
Anwar sebaliknya berkata, negara ini sepatutnya menjadi model perpaduan kaum yang kukuh.

