malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Na'imah wakili arwah Daim dalam usaha nyahbeku akaun
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Isteri Allahyarham Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid bagi mewakili suaminya dalam permohonan semakan kehakiman berhubbung pembekuan akaun peribadi keluarga itu dan 18 syarikat milik mereka.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan tersebut selepas Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Peguam keluarga, Nizamuddin Abdul Hamid, mengesahkan keputusan itu.

Daim, 86, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pada 13 November tahun lalu. Sebelum itu, Allahyarham mengalami strok dan dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Pada 6 Jun tahun lalu, Daim, Na'imah, 66, dan 22 pemohon lain - termasuk empat anak pasangan itu serta 18 syarikat - memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan kerajaan persekutuan.

18 syarikat tersebut ialah AAD Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Malur Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan Na’imah, pemohon mendakwa mereka telah terjejas secara negatif dalam skala makro dan mikro disebabkan pelbagai tindakan responden, termasuk menyita dan membekukan akaun mereka.

"Saya menyatakan bahawa segala keputusan-keputusan, tindakan-tindakan dan/atau kata-kata oleh Responden-Responden yang dinamakan dalam tindakan ini, merupakan satu perkara yang disengajakan untuk menyasarkan saya dan keluarga saya, dengan mengatakan bahawa Pemohon-Pemohon merupakan suatu keluarga yang korup di mana kami telah membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

"Saya telah dinasihati oleh peguamcara saya dan saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa segala keputusan-keputusan, tindakan-tindakan dan/atau kata-kata oleh Responden Ke-4 adalah untuk tujuan kolateral politik (‘political collateral purposes’) semata-mata," dakwa Na’imah.

Na'imah menegaskan dia dan pemohon lain tidak pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang berkaitan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), iaitu peruntukan yang digunakan untuk menyita dan membekukan akaun mereka.

Daim dan pemohon lain memohon pelbagai perintah, antaranya deklarasi bahawa penyitaan akaun mereka tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan mereka dan dilakukan dengan niat jahat (mala fide).

Mereka juga menuntut perintah mandamus untuk membatalkan tindakan membekukan akaun mereka serta ganti rugi am.

Tahun lalu, wakil dari Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan mereka akan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman keluarga tersebut.

Na’imah juga sedang berdepan pertuduhan berasingan di mahkamah atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan asetnya.

Susulan kematian Daim, mahkamah melepaskan dan membebaskan allahyarham daripada pertuduhan serupa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen