malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Trump: AS akan ambil alih Gaza, pindah rakyat Palestin cara kekal
Diterbitkan:  Feb 5, 2025 11:08 AM
Dikemaskini: 3:39 AM
ADS

GLOBAL l Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semasa  menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington DC, pada Selasa mengemukakan cadangan agar AS ‘mengambil alih’ Gaza.

Dia turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain, walaupun rakyat Palestin dan Mesir dan Jordan sebelum ini menolak cadangan tersebut.

"Amerika Syarikat akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami akan melaksanakan tugas ini dengan baik. 

“Kami akan bertanggungjawab untuk membersihkan sisa bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya lain di lokasi tersebut, meratakan kawasan itu, dan menghapuskan bangunan yang musnah.

“Kami akan membangunkan ekonomi di kawasan itu yang akan menyediakan pekerjaan dan perumahan tanpa had bagi penduduk setempat," kata Trump pada sidang akhbar bersama Netanyahu.

Pembersihan etnik

Sebelum ini, aktivis hak asasi manusia menganggap cadangan memindahkan penduduk Palestin itu sebagai pembersihan etnik.

Trump juga berkata bahawa Washington akan meminta negara jiran supaya menerima hampir dua juta penduduk Palestin yang akan dipindahkan dari Gaza. Sejak 25 Januari lalu, dia berulang kali meminta Mesir dan Jordan menerima mereka, tetapi cadangan itu ditolak oleh negara-negara Arab.

"Sebaliknya, kita harus merujuk kepada negara lain yang mempunyai peri kemanusiaan. Banyak negara yang ingin membantu dalam hal ini dan membangunkan kawasan baharu yang akhirnya akan didiami oleh 1.8 juta penduduk Palestin dari Gaza.

“Ini akan menamatkan  kematian dan kemusnahan serta membawa tuah baharu. Negara jiran yang kaya raya boleh membiayai projek ini," kata Trump kepada media pada Selasa.

Kebanggan Asia Barat

Dia bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci mengenai cadangannya.

Ditanya wartawan jika AS akan menghantar tentera untuk melaksanakan rancangannya, Trump tidak menolak kemungkinan itu.

"Kami akan melakukan apa yang perlu. Jika perlu, kami akan melakukannya. Kami akan mengambil alih kawasan itu, membangunkannya, mencipta ribuan dan ribuan pekerjaan, dan ia akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh Asia Barat," katanya.

Amerika Syarikat selama beberapa dekad telah menyokong penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin yang akan mewujudkan sebuah negara untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza, yang diduduki oleh Israel.

Tidak jawab soalan

Apabila ditanya jika pentadbirannya tidak lagi menyokong penyelesaian dua negara, Trump menjawab:

"Ia tidak bermaksud apa-apa tentang dua negara atau satu negara atau mana-mana negara lain.

“Ia bermaksud kita mahu memberi peluang kepada orang ramai untuk hidup... kerana Semenanjung Gaza telah menjadi neraka bagi mereka yang tinggal di sana," katanya tanpa menjawab soalan pokok.

Apabila ditanya siapakah yang bakal menghuni di bumi Gaza, ini jawapan presiden AS itu.

"Saya membayangkan bahawa orang dari seluruh dunia akan tinggal di sana, penduduk dunia.

"Penduduk Palestin juga, mereka juga akan tinggal di sana, ramai orang akan tinggal di sana," tambahnya tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut.

Pertumpahan darah terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang telah berlangsung selama beberapa dekad tercetus pada 7 Oktober 2023. Menurut data Israel, pejuang Hamas telah membunuh 1,200 orang rakyatnya dan menjadikan sekitar 250 lagi tebusan.

Sementara, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 47,000 penduduk Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza. Ini dianggap sebagai jenayah perang serta genosid.

Serangan rejim Yahudi itu juga telah menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan krisis kelaparan. Pertempuran kini dihentikan sementara menerusi proses gencatan senjata yang rapuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen