malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tahanan mati, 'gaduh' di Penjara Taiping: Badan Peguam gesa siasatan bebas
Diterbitkan:  Feb 3, 2025 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM
ADS

Badan Peguam Malaysia hari ini menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan berhubung dakwaan insiden pergaduhan yang berlaku di Penjara Taiping bulan lalu.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab (gambar bawah) menegaskan siasatan ini mesti dijalankan secara telus sepenuhnya dan hasil siasatan mesti didedahkan kepada umum.

"Badan Peguam Malaysia amat bimbang dan berdukacita dengan laporan mengenai serangan terhadap lebih 100 tahanan di Penjara Taiping, yang tragisnya mengakibatkan kematian seorang banduan."

"Jika disahkan, insiden ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius serta mencemarkan prinsip keadilan yang seharusnya dipertahankan oleh sistem perundangan kita," katanya pada satu kenyataan.

Pada Isnin lalu (27 Januari), Jabatan Penjara mengesahkan satu insiden provokasi berlaku di Penjara Taiping melibatkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke penjara berkenaan.

Jabatan itu juga memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Namun, pihak Jabatan Penjara tidak memberikan butiran lanjut mengenai sifat sebenar provokasi tersebut.

Kenyataan ini dibuat susulan mesej tular di akaun Edisi Siasat di Telegram minggu lalu, yang mendakwa seorang tahanan meninggal dunia selepas insiden pergaduhan di Penjara Taiping yang berlaku antara 16 hingga 17 Januari.

Bagaimanapun, peguam parti Urimai, Shamser Singh Thind (gambar atas) pada 27 Jan mendakwa banduan ditembak dengan gas pemedih mata dan dipukul oleh pegawai penjara, dengan butiran kejadian itu dirahsiakan daripada keluarga mereka.

Sementara itu, Mohamad Ezri menegaskan kes kematian ini mesti dirujuk ke mahkamah koroner untuk mengenal pasti punca kematian seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah.

"Ini kerana insiden ini didakwa melibatkan kematian dalam tahanan," jelasnya.

Katanya, insiden ini menjadi contoh betapa mendesak keperluan untuk reformasi sistem penjara di Malaysia.

"Kes penjara sesak masih menjadi isu berterusan, yang hanya memburukkan ketegangan, membebankan sumber yang terhad, serta mengancam keselamatan banduan," katanya.

Badan Peguam Malaysia turut mengulangi gesaan mereka supaya mekanisme hukuman alternatif diperluaskan, khususnya bagi pesalah bukan kes keganasan.

Memperluaskan pusat kehadiran wajib bagi membolehkan pesalah menjalani program pemulihan tanpa dipenjara, antara cadangan badan itu.

"Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan dalam penjara, tetapi juga membantu pemulihan pesalah dalam masyarakat," tegas Mohamad Ezri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen