malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tarif elektrik perlu dinaikkan, kata Anwar
ADS
3

NOTA EDITOR: Artikel ini telah dipinda untuk memberi konteks kenyataan Anwar.


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata tarif elektrik perlu dinaikkan pada separuh kedua tahun ini.

“Keputusan itu bagi saya sesuatu yang perlu dilakukan kerana harga perlu naik mengikut kapasiti harga pada tempoh tertentu,," katanya kepada hadirin pada majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Hotel Shangri-La di Kuala Lumpur.

Anwar berkata demikian sebagai respons kepada Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ng Yih Pyng yang membangkitkan kebimbangan bahawa kenaikan tarif boleh memberi kesan yang membawa kepada peningkatan kos menjalankan perniagaan dan inflasi yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa kenaikan itu tidak setinggi 14.2 peratus yang dicadangkan, dan tidak akan menyusahkan atau merugikan komuniti perniagaan.

Bermula Julai, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh).

Pada 27 Dis lalu, Anwar berkata kerajaan sedang mengambil langkah memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat.

Untuk konteks, tarif asas merujuk kepada purata tarif yang ditanggung oleh semua pengguna elektrik. Tarif sebenar yang dikenakan berbeza berdasarkan jenis pengguna, dan trend penggunaan.

Bil akhir juga dipengaruhi oleh sebarang surcaj atau rebat di bawah skim Imbalance Cost Pass-through (ICPT), yang diselaraskan setiap enam bulan untuk mencerminkan harga bahan api sebenar.

TNB sebelum ini memberi jaminan tidak akan ada kenaikan tarif elektrik untuk 85 peratus pengguna domestik bagi separuh pertama tahun ini, kerana kerajaan menyerap kos melalui mekanisme seperti Dana Industri Elektrik.

Semakan tarif seterusnya dijadualkan pada Julai 2025.

Caruman KWSP pekerja asing kekal dua peratus

Dalam pada itu Anwar mengulas mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan pekerja asing.

Dia menafikan kadar itu akan meningkat, sebaliknya kekal pada kadar dua peratus, yang disifatkan lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 12 peratus.

“Tetapi terdapat kebimbangan ia akan meningkat, bermula pada 2 peratus kemudian naik kepada empat peratus dan enam peratus.

“Ia bukan begitu. Kita kekalkannya pada 2 peratus, yang mana sangat minimum,” katanya.

Anwar berkata kabinet akan menaikkan kadar caruman berkenaan kepada empat peratus apabila keadaan bertambah baik.

Dalam ucapannya hari ini, Anwar turut menggesa sektor swasta menyumbang dalam membangunkan 'pusat kecemerlangan' Malaysia, merujuk kepada fakulti dan latihan dalam bidang pendidikan dan transformasi digital.

Dia menyentuh mengenai kuasa besar global seperti AS, Eropah dan China, yang pada masa lalu telah memberi tumpuan kepada pembangunan dalam bidang ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3