malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Polis rampas 'laptop' Mkini, kes siasat KJ
Diterbitkan:  Jan 27, 2025 2:56 PM
Dikemaskini: 6:59 AM
ADS

Polis merampas sebuah komputer riba daripada Malaysiakini untuk membantu siasatan terhadap bekas menteri Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengambil kenyataan daripada ketua editor portal berita itu, RK Anand mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, Malaysiakini kemudiannya dimaklumkan komputer riba itu juga perlu dirampas.

Portal berita tersebut juga diarahkan untuk hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya esok bagi membolehkan pegawai MCMC mendapatkan butiran daripada sistem pengurusan kandungan (CMS) portal itu.

ADS

Malaysiakini diberitahu kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut merupakan satu kesalahan.

Polis sedang menyiasat Khairy di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas tuduhan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Ini berikutan laporan polis yang dibuat oleh setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Seri Azalina Othman Said, iaitu Suraya Yaacob, mengenai artikel Malaysiakini yang memetik komen Khairy dalam podcastnya Keluar Sekejap.

Khairy berkata isu titah adendum yang melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak telah mencetuskan krisis kepercayaan dalam Umno.

ADS

Dia juga memberi bayangan Azalina terlibat menyorokkan titah adendum itu.

"Berbalik kepada Umno, ini menteri kena jawab kenapa menteri Umno bersubahat menyorok adendum ini, ini menteri undang-undang, apa nama dia, Azalina Othman Said,” katanya.

"Surat kepada peguam negara (AG), tak mungkin AG tak maklum kepada… menteri undang-undang," tambah Khairy lagi.

Dalam laporan polisnya, Suraya mendakwa berita itu palsu dan mencemarkan reputasi Azalina.

Polis juga telah mengambil kenyataan daripada Khairy berhubung perkara tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen