malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IGP nasihat 1,000 pesawah yang nak berhimpun depan PMO cari tarikh lain
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 10:31 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2025 3:25 AM
ADS
3

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain menasihati pesawah yang bercadang untuk berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri pagi esok, supaya memilih tarikh lain yang lebih sesuai.

Katanya, ini kerana pihak polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di bangunan Perdana Putra berikutan kunjungan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto esok.

"PDRM telah bersiap sedia dari sudut keselamatan untuk memastikan lawatan rami presiden Indonesia bebas daripada apa jua ancaman keselamatan.

“PDRM menghormati hasrat para peserta kunjungan 1,000 pesawah tersebut namun menasihat mereka supaya memilih tarikh dan waktu yang berlainan bagi penyelarasan tugasan dan aturan keselamatan yang lebih sempurna dalam menjamin keselamatan presiden republik Indonesia sentiasa berada di tahap tertinggi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Awal petang ini, media dimaklumkan bahawa perhimpunan 1,000 pesawah itu akan diadakan pada pukul 10 pagi di hadapan bangunan Perdana Putra.

Mereka menuntut harga lantai belian padi dinaikkan dan menggesa kerajaan tidak meluluskan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini.

RUU itu antara lain dikatakan mewajibkan pelesenan yang menyekat hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih tanaman sesama keluarga, rakan-rakan dan orang awam.

Pesawah tukar lokasi

Sementara itu, dalam satu kenyataan, penganjur himpunan itu berkata mereka kesal kerana maklumat berkenaan lawatan Prabowo tidak dimaklumkan lebih awal oleh pihak PMO dan polis, sedangkan urusan surat menyurat dan makluman berkenaan kunjungan pesawah telah lama dihantar.

Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Nurfitri Amir Muhamad berkata justeru itu pihaknya telah menukar lokasi kunjungan ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Pesawah tidak datang untuk membuat huru-hara lebih-lebih lagi ketika kedatangan tetamu negara. Oleh itu, lokasi kunjungan dan sidang media Pesawah diubah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tarikh dan waktu yang sama.

“10 orang wakil-wakil negeri akan tetap ke PMO untuk penyerahan memorandum dengan kawalan polis,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3