malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR pada Mei, penggal terakhir Anwar sebagai presiden
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM
ADS

PKR akan mengadakan pemilihan bagi jawatan majlis pimpinan pusat (MPP), wanita dan pemudanya pada 24 Mei depan.

Bagi presiden parti, Anwar Ibrahim, penggal akan datang merupakan yang terakhir untuknya sekiranya dia memilih untuk mempertahankan jawatan tersebut, yang kemungkinan besar berlaku tanpa saingan.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Saleh, mengumumkan tarikh pemilihan itu dalam satu kenyataan selepas MPP mengadakan mesyuarat hari ini.

Pencalonan bagi jawatan-jawatan berkenaan akan dibuka pada 3 dan 4 Mei.

Berbeza dengan pemilihan PKR sejak 2010, parti itu kini menghapuskan sistem 'satu ahli satu undi' untuk memilih enam jawatan tertinggi parti, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden.

Sebaliknya, sistem perwakilan diperkenalkan semula.

Mengikut peraturan baru itu, 30 peratus perwakilan mesti terdiri daripada wanita.

Selain itu, cabang-cabang PKR perlu memastikan perwakilan yang mengundi adalah seimbang dengan demografi etnik kawasan masing-masing.

Bagi peringkat cabang, pencalonan akan berlangsung dari 14 hingga 16 Mac, manakala pemilihan akan diadakan dari 11 hingga 20 April.

Dalam pemilihan parti sebelum ini, pertandingan paling sengit adalah bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang menyaksikan Rafizi Ramli menewaskan Saifuddin Nasution Ismail dengan majoriti 19,000 undi.

Saifuddin dilihat sebagai calon pilihan Anwar dalam pemilihan tersebut.

Pasukan Rafizi turut berjaya memenangi tiga daripada empat jawatan naib presiden, manakala sekutu Saifuddin, Amirudin Shari, memperoleh undi tertinggi dalam saingan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen