Presiden Amanah Mohamad Sabu meletakkan harapan tinggi bahawa partinya mampu menang lebih besar di negeri kubu kuat PAS iaitu Kelantan pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, sasaran itu dapat dicapai sekiranya parti-parti dalam kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada dan pembahagian kerusi dibuat dengan betul.
“Kita lihat negeri-negeri yang kita ditugaskan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Memang sukar nak hadapi parti lawan kita yang memerintah.
“Tapi saya yakin pilihan raya akan datang, jika perpaduan kita elok, pembahagian kerusi betul kita akan menang berbelas kerusi di negeri Kelantan,” katanya dalam ucapan penggulungan Konvensyen Amanah 2024 di Klang, hari ini.
Sejak penubuhannya pada 2015, Amanah mencipta kemenangan pertama di Kelantan bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kota Lama menerusi calonnya Dr Hafidzah Mustakim dalam pilihan raya lalu.
Sementara itu Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui berlaku pergolakan kepimpinan Amanah di Kelantan.
Bagaimana Mohamad berkata dia yakin keadaan itu merupakan suatu perkara yang baik untuk parti itu.
“Di Kelantan memang Amanah bergolak. Kenapa mereka bergolak? Kerana nak tunjuk kamilah yang paling hebat, maka berlakulah pergolakan.
“Kadang-kadang bergolak kerana ada mengatakan mereka layak jadi ketua, Awan (Angkatan Wanita Amanah) pula kata dia layak jadi ketua.
"Maka berlawan, hendak mesyuarat agung dia bawa ahli yang ramai dan orang ini pula bawa ahli yang ramai, ratusan yang hadir.
“Sebab itu bila saya dengar Amanah bergolak saya rileks. Saya kata sudah tentu kawasan ini akan maju," katanya.