malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan batal Waktu Kerja Berlainan bukan 'flip flop', kata menteri
ADS

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad menegaskan kerajaan tidak bersikap flip-flop atau berdolak dalik apabila membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) melibatkan kakitangan kesihatan.

Naib presiden Amanah itu bagaimanapun mengakui pengumuman awal mengenai pelaksanaan sistem WBB itu satu kesilapan kerana tidak mengambil kira pandangan daripada semua pihak.

“Jadi bagi menyelesaikannya saya batalkan dahulu. Kita akan teruskan dengan mendapat pandangan semua pihak.

“Ingin saya tegaskan ini bukan flip-flop seperti mana yang disebutkan tetapi satu ketegasan supaya rakyat tahu apabila melibatkan apa dasar ia harus dilakukan libat urus secara meluas.

“Saya beri keyakinan dan penegasan kepada semua bahawa kita tidak akan flip-flop, sebaliknya beri ketegasan apa yang dilakukan ini (untuk kebaikan semua). Doakan semua dapat perbaiki sistem ini,” kata Dzulkefly ketika berucap pada Konvensyen Amanah 2024 di Klang, hari ini.

Mengulas mengenai pembatalan projek rintis di lima buah hospital itu, Dzulkefly berkata beberapa pihak mempersoalkan mengapa mereka tidak dilibatkan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan mereka.

“Ketika edaran arahan itu dibuat di situlah bocornya, dan ketika bocor ia didapati oleh semua doktor di seluruh negara dan mereka bertanya kenapa tidak dilibat uruskan. Itu puncanya WBB menjadi masalah," katanya.

Justeru kata Dzulkefly dia membuat keputusan membatalkan projek rintis itu setelah mendapatkan nasihat daripada kabinet.

“Selepas saya buat penerangan (kepada kabinet), kabinet berpandangan adalah sebaiknya saya batalkan dan teruskan dengan kajian untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak,” katanya.

Terdahulu Dzulkefly mengumumkan projek rintis WBB dibatalkan bagi memberi laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.

Katanya jemaah menteri memutuskan perkara tersebut selepas mengambil kira pertimbangan dan pandangan semua pihak, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bakal dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Abu Bakar Suleiman.

Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM menarik balik WBB serta-merta dengan dakwaan WBB dibangunkan tanpa penglibatan pihak berkepentingan utama.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen