malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selangor nak perketat prosedur pengurusan tanah elak manipulasi
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 2:52 PM
Dikemaskini: 7:34 AM
ADS

Kerajaan Selangor akan memperketat prosedur pengurusan tanah di negeri itu bagi menutup sebarang ruang manipulasi susulan insiden pemindahan milik tanah secara tidak sah di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata walaupun insiden itu dikatakan berlaku sekali sahaja di PTD berkenaan, kerajaan negeri memandang serius kelemahan dalam sistem sedia ada.

“Kesalahan ini dilakukan ketika peralihan pengurusan tanah secara biasa (manual) kepada digital (e-tanah) dan ia bukan selalu dibuat, sekali sahaja.

“Tetapi kerajaan negeri akan menitikberatkan peningkatan prosedur seperti proses keluar masuk data supaya ruang untuk memanipulasikan sistem dapat ditutup sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek rumah hijau di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves hari ini.

Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap pihak yang terlibat dengan kegiatan itu mengikut tata kerja dan peraturan disiplin perkhidmatan awam.

“Langkah ini termasuk mengadakan siasatan dalaman melalui jawatankuasa disiplin, tetapi biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu. Jika terbukti bersalah, kita akan menyusul selepas itu,” katanya.

Amirudin berkata, setakat ini hanya PTD Klang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan berkenaan namun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan wujud kes serupa di PTD lain.

“Ia bukan kerja mudah dan tidak mungkin dilakukan seorang diri. Kemungkinan terdapat komplot antara beberapa individu termasuk daripada jabatan IT (teknologi maklumat) atau jabatan lain.

"Ini termasuk pegawai yang mengenal pasti senarai tanah lapangan, unit IT yang mengubah data, dan beberapa individu lain. Semua ini bergerak bersama, ia tak boleh diselesaikan dengan seorang sahaja terlibat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan 'orang dalam' di PTD Klang dan membawa penahanan 17 individu sejak Sept lepas kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Sementara itu, projek rumah hijau berkenaan adalah sebahagian daripada Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 bertujuan memperkenalkan teknologi pertanian inovatif dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata projek dilaksanakan di 50 lokasi terpilih seluruh negara dengan teknologi yang diperkenalkan ialah microfarm dan greenkit yang menggunakan konsep pengairan sendiri untuk meningkatkan produktiviti tanaman dalam ruang terhad.

Selain tidak memerlukan tenaga elektrik kerana hanya bergantung pada tekanan graviti untuk pengairan, sistem itu juga dilengkapi dengan struktur pelindung hujan dan jaring kalis serangga untuk melindungi tanaman daripada cuaca ekstrem dan serangan perosak.

Ia sekali gus membolehkan pekebun menghasilkan sayur-sayuran segar dengan kualiti lebih baik serta mengurangkan kos sara hidup serta bergantung kepada sumber makanan lebih selamat serta berkualiti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen