malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DBKL giat teliti pemberian lesen bazar Ramadan
Diterbitkan:  Jan 26, 2025 10:17 AM
Dikemaskini: 2:17 AM
ADS

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat meneliti aspek pemberian lesen bazar Ramadan di ibu negara tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Katanya proses berkaitan kini dilaksanakan DBKL bagi memastikan peniaga yang layak dan benar-benar ingin berniaga mendapat lesen untuk beroperasi di bazar berkenaan.

“Yang keduanya (kita teliti) penyelenggaraan bazar Ramadan … saya yakin ini (aspek pemberian lesen dan penyelenggaraan bazar) akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas program hari bebas kenderaan (CFD) di Putrajaya hari ini.

Ditanya adakah terdapat isu tertentu dibangkitkan persatuan penjaja berhubung tapak bazar Ramadan, Zaliha berkata pihaknya tidak mendapat sebarang aduan daripada pihak berkenaan.

“Setakat ini tak ada (isu), saya nampak mereka ada juga bertemu dengan contohnya Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk membincangkan tentang beberapa perkara,” katanya.

Sebelum ini, Zaliha berkata DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain aspek pengurusan lebih baik.

Mengenai CFD, dia berkata pihaknya berhasrat memanjangkan tempoh program berkenaan kepada sehari berbanding hanya beberapa jam ketika ini.

“Kita akan cuba melihat juga bukan hanya setakat sejam (program CFD) tetapi satu hari. Yang ini kita sedang kaji dan kalau ia mendapat sambutan maka kita akan memperluaskannya,” katanya.

CFD ialah acara bulanan yang diadakan pada setiap Ahad minggu kedua di Putrajaya dan hari ini ia diadakan serentak dengan kempen kibar bendera sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen