Agensi berita Jerman, dpa, hari ini melaporkan bahawa Elon Musk tidak berpuas hati dengan perniagaan platform dalam taliannya, X.
"Pertumbuhan pengguna kita tidak berkembang, hasil tidak memberangsangkan dan kami hampir tidak pulang modal,” lapor akhbar The Wall Street Journal (WSJ) semalam dengan memetik e-mel terbaru Musk kepada pekerja X.
Beberapa jam kemudian, Musk memberi respons terhadap artikel itu.
"Laporan ini palsu. Saya tidak menghantar e-mel seperti itu. WSJ berbohong," katanya.
Namun begitu, blog teknologi The Verge mengesahkan e-mel tersebut dengan sumber mereka sendiri.
WSJ kemudian hanya melaporkan reaksi Musk dalam kemas kini artikelnya, bersama petikan yang tidak berubah dan nota bahawa mereka telah melihat e-mel yang dimaksudkan itu.
Musk sering menuduh media menyebarkan pembohongan dan propaganda. Sebaliknya, dia menyeru keoada pengguna X dengan berkata: "Anda kini adalah media."
X dibina berdasarkan perkhidmatan mikroblogging Twitter, yang dibeli Musk pada Okt 2022 dengan harga kira-kira AS$44 bilion.
Memandangkan syarikat itu tidak disenaraikan di bursa saham sejak pembelian tersebut, tiada maklumat awam mengenai prestasi perniagaannya.
Namun, memang diketahui bahawa hasil syarikat itu merudum selepas pengambilalihan tersebut. Musk telah beberapa kali menyatakan bahawa hasil syarikat telah berkurangan kira-kira separuh.
Seberapa tepat jumlah pendapatan X pada masa ini tidak diketahui.
Pembelian oleh jutawan polarisasi itu telah menakutkan beberapa pengiklan. Lebih ramai lagi menarik diri selepas penyelidik dalam talian menunjukkan bagaimana iklan mereka boleh muncul bersama hantaran yang mengandungi ucapan kebencian.
Musk telah banyak melonggarkan sekatan kandungan untuk hantaran yang sebelum ini dikuatkuasakan di Twitter.
Ketua X yang dilantik oleh Musk, Linda Yaccarino - yang dulu bertanggungjawab dalam bidang pengiklanan di syarikat media NBC Universal - telah beberapa kali menyatakan sejak 2023 bahawa pengiklan kembali ke platform tersebut.
Sementara itu, syarikat induk Facebook, Meta, mula meletakkan iklan pada alternatif X mereka, Threads.
Pada peringkat awal, ia dirancang dalam ujian kapasiti terhad, menurut catatan blog.
Threads mempunyai lebih daripada 300 juta pengguna aktif bulanan, menjadikan ia menarik kepada pengiklan X. Namun Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, baru-baru ini mengumumkan bahawa dia juga akan melonggarkan sekatan kandungan untuk hantaran.
Dengan perubahan dalam peraturan ucapan kebencian itu, pengiklan mungkin menghadapi masalah yang serupa seperti di X.
- Bernama/dpa