malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Kontroversi kontrak heli k'jaan RM16b: Siapa Leonardo SPA?
ADS

PANDUANKINI | Baru-baru ini, spekulasi muncul mengenai perubahan dalam barisan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perubahan ini dikatakan melibatkan pengganti yang tidak berasal dari hierarki biasa tiga cabang angkatan tentera.

Spekulasi perubahan ini dikaitkan dengan pajakan helikopter buatan Eropah bernilai RM16 bilion yang tular di media sosial, meskipun kerajaan segera menafikannya.

Tetapi, siapakah pengeluar dari Eropah, Leonardo SPA dan mengapa syarikat ini menjadi kontroversi?

Panduankini menjelaskan perihal tersebut.

Gambar hiasan, perbarisan Merdeka Angkatan Tentera Malaysia.

Siapa Leonardo SPA?

Leonardo sebuah kumpulan industri global yang menghasilkan pelbagai jenis teknologi dalam bidang aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan.

Syarikat ini dahulunya dikenali sebagai Leonardo-Finmeccanica dan asalnya sebagai Finmeccanica, beribu pejabat di Rome, Itali. Sebahagian syarikat ini dimiliki oleh kerajaan Itali.



Anak syarikatnya termasuk Agusta Westland, Alenia Aermacchi, DRS Technologies, Selex ES, OTO Melara dan WASS. Leonardo diorganisasikan kepada lima bahagian: helikopter, pesawat, aerostruktur, elektronik dan keselamatan siber.

Mereka pengeluar helikopter AW139, yang diperoleh kerajaan Malaysia melalui perjanjian pajakan RM16 bilion dengan Weststar Aviation.

Apa perjanjian itu?

Pada 23 Disember 2024, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian pajakan selama 15 tahun dengan Weststar Aviation untuk menyediakan helikopter bagi kegunaan agensi tentera dan kerajaan.

Perjanjian ini, yang merangkumi helikopter Leonardo yang sesuai untuk pelbagai tugas, diberikan melalui proses permintaan cadangan (request for proposal).

Ia juga memberikan pilihan kepada kerajaan untuk membeli helikopter tersebut dengan harga RM15 juta setiap satu selepas tempoh pajakan tamat.

Weststar melalui perjanjian tersebut akan menyediakan helikopter untuk tentera dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan sebuah helikopter untuk Jabatan Perdana Menteri.

Kenapa Weststar Aviation dipilih?

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 28 November tahun lalu memberitahu parlimen bahawa kerajaan mengeluarkan permintaan cadangan dan hanya empat syarikat yang memenuhi kriteria kerajaan antara lain dari segi modal dan lesen.

Daripada empat syarikat tersebut, Anwar menjelaskan Weststar dipilih, sebahagiannya kerana hubungan syarikat itu dengan pengeluar helikopter Itali, Leonardo.



Weststar Aviation Services Sdn Bhd dimiliki oleh jutawan berusia 65 tahun, Syed Azman Syed Ibrahim, melalui syarikat persendiriannya, Weststar Group.

Portfolio Weststar Group meliputi perkhidmatan helikopter luar pesisir, pengedar kereta serta perniagaan makanan dan minuman.

Menurut laporan Forbes pada 2023, matlamat besar Syed Azman menjadikan Weststar Aviation sebagai "pengendali helikopter terbesar di dunia" menjelang 2033.

Gambar hiasan.

Ketika itu, Weststar Aviation memiliki 34 helikopter, menjadikannya pengendali perkhidmatan luar pesisir kedua terbesar di Asia Pasifik, menurut firma penyelidikan pasaran India, Imarc Group, yang dipetik Forbes.

Pada 2023, Forbes memasukkan nama Syed Azman di tempat ke-24 senarai 50 individu terkaya di Malaysia selepas Weststar Aviation membeli kembali 21 peratus pegangan firma ekuiti persendirian global KKR & Co Inc. Kekayaan Syed Azman dianggarkan bernilai AS$825 juta (RM3.7 bilion), meningkat 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Apa kaitan Weststar dengan Leonardo?

Menurut The Edge, Weststar Aviation sebelum ini telah membekalkan empat helikopter Leonardo (dahulu dikenali sebagai AgustaWestland) AW139 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di bawah kontrak operasi kerajaan tapi pemilikan dan selenggaraan oleh kontraktor - Government-Operated, Contractor-Owned and Maintained (GOCOM).

Di bawah kontrak GOCOM, kerajaan hanya membayar pajakan tahunan kepada kontraktor, yang bertanggungjawab untuk pemerolehan, pembekalan dan penyelenggaraan helikopter.

Helikopter yang digunakan oleh Anwar Ibrahim untuk berkempen bagi Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum 2022 juga disediakan oleh Weststar Aviation (gambar bawah).

Malaysiakini telah menghubungi Weststar Aviation untuk mendapatkan maklum balas.

Mengapa kerajaan pilih helikopter Leonardo?

Leonardo dipilih kerana syarikat itu telah menjadikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan dan pembaikan untuk Asia Tenggara dan Timur Jauh.

Di bawah perjanjian pajakan itu, kerajaan akan memperoleh helikopter Leonardo yang disesuaikan untuk kegunaan khusus setiap agensi, seperti kemampuan memadam kebakaran.

Kos penyelenggaraan dan pembaikan akan ditanggung sepenuhnya oleh penyedia perkhidmatan, sekali gus menjimatkan kerajaan berbilion ringgit setiap tahun.

Model pajakan ini serupa dengan yang digunakan oleh Singapura, Indonesia dan Filipina.

Bagaimana perjanjian ini dikait perubahan kepimpinan tentera?

Awal bulan ini, terdapat spekulasi Yang di-Pertuan Agong tidak berpuas hati dengan pemilihan kepimpinan tentera dan mengarahkan perubahan dalam barisan jeneral.

Pada 14 Januari, Malaysiakini melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohammad Ab Rahman (gambar bawah), berkemungkinan akan digantikan, menurut sumber dalaman.

Gambar fail.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pengumuman akan dibuat tidak lama lagi dan menafikan perubahan ini berkaitan dengan perjanjian helikopter Leonardo bernilai RM16 bilion.

Apakah Leonardo SPA terbabit skandal lain?

Ya, syarikat itu telah terpalit dalam beberapa kontroversi di rantau ini berkaitan pemerolehan pertahanan.

Pada 2015, Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia menyiasat pembelian helikopter AW101 daripada AgustaWestland, yang kini sebahagian daripada Leonardo SPA.

Harga helikopter tersebut didakwa dinaikkan bagi memberi manfaat kewangan kepada pegawai tentera udara.

Antara yang dinamakan dalam siasatan KPK ialah Jeneral Agus Supriatna daripada Tentera Udara Indonesia dan Lorenzo Pariani, ketua bahagian helikopter AgustaWestland untuk Asia Tenggara ketika itu.

Pun begitu, tiada pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Seorang ahli perniagaan, Irfan Kurnia Saleh yang bertindak seolah-olah memiliki kontrak dengan syarikat Itali itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan rasuah. Dia satu-satunya tertuduh dalam perbicaraan tersebut.

Helikopter dalam kes ini model lama yang cuba dijual oleh Leonardo, ketika itu dikenali sebagai syarikat Finmeccanica kepada India beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, perjanjian dengan India itu gagal kerana rasuah membabitkan wakil syarikat dari Itali itu dan beberapa jeneral tentera India.

Kes apa di India?

Kes ini dikenali sebagai "VVIP Chopper Scam" kerana ia melibatkan pembelian helikopter untuk membawa presiden, perdana menteri dan orang kenamaan lain.

Ia berkaitan dengan perjanjian yang ditandatangani pada 2007 antara kerajaan pimpinan Kongres Nasional India dan pengeluar helikopter Anglo-Itali.

Pada 2014, India membatalkan perjanjian bernilai AS$770 juta (RM3.5 bilion) untuk membeli 12 helikopter AW101 itu selepas penahanan pengerusi Finmeccanica, Giuseppe Orsi dan CEO AgustaWestland, Bruno Spagnolini atas dakwaan memberi rasuah untuk mendapatkan kontrak tersebut.

Finmeccanica, syarikat induk AgustaWestland kemudian menukar namanya kepada Leonardo.

Selepas penahanan itu, AgustaWestland dan syarikat induknya, yang kini dikenali sebagai Leonardo, dilarang selama 10 tahun daripada menyertai mana-mana kontrak pertahanan India.

Larangan itu ditarik balik pada 2021 setelah syarikat Anglo-Itali itu menarik balik tuntutannya terhadap kerajaan India, selepas hanya membekalkan tiga daripada 12 helikopter tanpa menerima bayaran.

Apa lagi kontroversi Leonardo?

Pada Januari tahun ini, keluarga jutawan Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2018 memfailkan saman bernilai GBP2.15 bilion (RM11.8 bilion) terhadap Leonardo di mahkamah London.

Saman ini menuntut pampasan atas kehilangan pendapatan dan kerosakan lain, yang menurut keluarga tersebut merupakan tuntutan kemalangan maut terbesar dalam sejarah undang-undang Inggeris.

Vichai, 60, pemilik kelab bola sepak Leicester City selepas membelinya pada 2010. Leicester mencetuskan kejutan dunia bola sepak dengan memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris pada 2016.

Gambar fail, nahas helikopter di Leicester.

Vichai yang membina empayar kekayaan melalui perniagaan bebas cukai King Power di Thailand, merupakan salah seorang daripada lima individu yang meninggal dunia dalam nahas helikopter Agusta AW169 sejurus berlepas dari luar Stadium King Power di Leicester pada 27 Oktober 2018, selepas perlawanan bola sepak.

Kes ini masih berjalan.

Tentera mana lagi guna helikopter Leonardo?

Setakat 16 Oktober 2024, Leonardo melaporkan lebih 1,200 helikopter AW139 sedang digunakan, mencatat lebih empat juta jam penerbangan dengan lebih 300 operator di lebih 90 negara.

Selain itu, Leonardo turut membekalkan pesawat Aermacchi M-346 dan komponen untuk helikopter penyerang Apache kepada Angkatan Tentera Israel (IDF).

Apa reaksi aktivis hubungan Leonardo dan Israel?

Pada 2023 dan 2024, kumpulan Solidariti Bertindak Palestin mengadakan protes di kilang Leonardo UK di Edinburgh.

Tindakan mereka termasuk menyekat laluan, memotong kabel internet, menyembur cat dengan slogan protes dan menduduki bumbung kilang Leonardo.

Aktivis mendakwa Leonardo bersubahat dalam jenayah perang Israel terhadap Palestin dengan memohon 26 lesen senjata dari Israel antara 2008 hingga 2021.

Kilang di Edinburgh ini dikenali sebagai pakar dalam ‘laser ketenteraan tenaga tinggi’ yang digunakan dalam sistem penandaan sasaran jet pejuang F-35.

Israel sering menggunakan jet ini untuk menyerang sasaran awam di Gaza.

Aktivis mendakwa jet F-35 dihasilkan oleh Lockheed Martin, syarikat AS yang menjual jet tersebut ke Israel selepas dilengkapi dengan laser dan sistem penandaan sasaran daripada Leonardo untuk menyerang penduduk Gaza.

Sebagai maklum balas, Leonardo UK dalam kenyataan kepada media tempatan menyatakan, “Leonardo UK tertakluk kepada kawalan eksport kerajaan UK dan tidak membekalkan peralatan terus kepada Israel.”

Pada Disember 2023, majlis pelajar Kolej Tingkatan Enam Luton (LSFC) di UK menghantar surat terbuka kepada kepimpinan kolej menuntut pemutusan hubungan segera dengan Leonardo.

Tekanan pelajar itu menyebabkan pengurusan kolej menggantung semua aktiviti bersama firma pertahanan itu atas penglibatan mereka dalam konflik Israel-Palestin.

Langkah ini dianggap sebagai yang pertama oleh kolej di England sebagai respons kepada krisis kemanusiaan di wilayah Gaza yang diserang.

Kolej menyatakan hubungan mereka dengan Leonardo hanya melibatkan kehadiran syarikat itu di pameran kerjaya dan penyediaan pengalaman kerja untuk pelajar sains, teknologi dan matematik (STEM).

Dalam Laporan Tahunan 2023, Leonardo mengakui konflik Israel-Palestin sebagai salah satu risiko utama perniagaannya.

Apa komen Madani, syarikat heli dituduh subahat Israel?

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak secara langsung menangani isu penglibatan Leonardo dalam jenayah perang Israel.

Dia juga mengelak isu tersebut ketika menjawab protes terhadap penyertaan syarikat pertahanan yang membekalkan senjata kepada Israel dalam pameran perdagangan pertahanan di Kuala Lumpur tahun lalu.

Ketika itu, Ketua Biro Antarabangsa Bersatu Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan melarang Lockheed Martin dan BAE Systems daripada menyertai dan menaja pameran Keselamatan Nasional (NATSEC) Asia 2024 di ibu negara.

Ini kerana jet pejuang F-35 Lockheed Martin dan peralatan yang dibekalkan oleh BAE digunakan oleh IDF untuk menyerang rakyat Palestin.

Ketika diminta mengulas oleh wartawan, Anwar mengelak isu itu dengan menyatakan kerajaan Madani tidak berurusan dengan syarikat Israel.

Menurut Anwar tiada syarikat Israel berdaftar di Malaysia.

“Itu pendirian kita, tidak diizinkan,” katanya.

Secara berasingan, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled pada satu kenyataan menyatakan Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen