malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS 'jin politik', kata Nur Jazlan
Diterbitkan:  Jan 2, 2025 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed menasihatkan ahli partinya agar tidak terpedaya dengan sokongan tiba-tiba PAS terhadap perhimpunan solidariti bekas perdana menteri Najib Razak.

"Pemimpin PAS sering cakap macam mereka ni wakil syurga. Tapi bagi saya, PAS bukan ‘malaikat politik’ tapi lebih kepada ‘jin politik’ sebab mereka pandai manipulasi agama demi kepentingan sendiri.

"Fatwa politik mereka berubah ikut selera. Dulu kawan Umno satu jihad untuk ummah tapi bila bermusuh, Umno pula dikafirkan. Sama juga dengan DAP – masa berkawan, DAP bagus; bila bergaduh, DAP jadi komunis," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Nur Jazlan juga menyoal motif PAS hendak menjadi pembela Najib dan mengerahkan ahli parti itu turun beramai-ramai pada perhimpunan di Mahkamah Rayuan 6 Januari ini.

"Mungkin sekarang ni lebai PAS nak cari duit baru lagi dari Najib tu sebab Bersatu pun dah pokai dan bila PMX cakap nak buat PRU awal PAS mengelabah sebab mereka sekarang ni takde pitih," katanya.

Pada 29 Disember, PAS berkata parti itu akan bersetiakawan bersama Umno demi Najib pada 6 Januari untuk mengadakan perhimpunan di Putrajaya.

Dalam memo dalaman bertajuk “Seruan untuk Perhimpunan Solidariti Bersama Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak Meminta Keadilan”, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengarahkan pemimpin parti untuk menggerakkan ahli bagi acara tersebut, yang dijadualkan pada jam 9 pagi di luar Istana Kehakiman.

Perhimpunan itu bertepatan dengan pendengaran kes mengenai titah addendum yang didakwa boleh membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 31 Disember, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi, berkata perhimpunan solidariti itu tidak bersifat politik dan tidak pernah dibincangkan dengan PAS.

Puad membalas kritikan Pengerusi DAP Lim Guan Eng, yang tidak senang dengan perhimpunan itu memandangkan Umno sebahagian parti gabungan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen