malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Peranan Malaysia dalam menangani krisis Myanmar
ADS

KOMENTAR | Sebagai pengerusi Asean pada 2025, Malaysia menghadapi cabaran kritikal untuk menangani krisis berpanjangan Myanmar yang tidak hanya membawa ketidakstabilan serantau bahkan menguji kredibiliti badan tersebut.

Sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Feb 2021, Myanmar dibelenggu pergolakan politik, keganasan yang meluas dan krisis kemanusiaan. Rampasan kuasa menyebabkan sekurang-kurangnya 5,350 orang awam terbunuh, hampir 28,000 yang lain ditahan manakala lebih 3.3 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Tidak cukup dengan itu ada 118,000 ribu menjadi pelarian di negara-negara jiran dan lebih separuh penduduk negara itu hidup di bawah garis kemiskinan.

Susulan rampasan kuasa, Asean berusaha untuk menjadi perantara dengan menekankan prinsip tidak campur tangan dan kestabilan serantau.

ADS

Pada April 2021, pemimpin Asean termasuklah wakil lantikan junta Myanmar menerima pakai Konsensus Lima Perkara yang bertujuan untuk menghentikan keganasan, mengadakan dialog dengan pelbagai pihak, melantik duta khas, memberikan bantuan kemanusiaan dan memastikan akses duta khas kepada semua pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, ketidakpatuhan junta yang berterusan menghalang sebarang kemajuan usaha tersebut dicapai. Walaupun duta khas telah dilantik untuk mengetuai rundingan, usaha mereka dihambat oleh sekatan junta dan dihalang daripada mengadakan libat urus dengan kumpulan pembangkang.

Asean juga telah mengambil langkah luar biasa dengan mengecualikan pemimpin junta Myanmar daripada mesyuarat peringkat tinggi. Respons negara-negara Asean juga mencerminkan perpecahan dalam gabungan tersebut.

Walaupun Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos menyokong libat urus yang berterusan dengan junta, negara lain termasuk Malaysia dan Indonesia mendesak isolasi yang lebih besar kerana kebimbangan terhadap pencabulan hak asasi manusia dan krisis Rohingya.

Singapura, Filipina dan Brunei pula cenderung kepada pendirian Malaysia dan Indonesia.

Apa yang boleh dibuat oleh Malaysia?

Berdasarkan sejarah kepimpinan dalam Asean dan pendirian lantang dalam isu Myanmar, Putrajaya mampu menerajui pendekatan yang lebih berkesan.

Menjelang kepengerusian Asean, Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini menubuhkan kumpulan penasihat tidak rasmi yang merangkumi bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra dan bekas menteri Singapura George Yeo untuk menyumbang kepakaran dan idea berkaitan hal ehwal Asean.

Di luar inisiatif tersebut, Malaysia boleh mempertimbangkan beberapa langkah lain.

Pertama, mengamalkan minilateralisme. Model konsensus Asean telah mendedahkan batasannya dalam menangani krisis seperti Myanmar. Malaysia boleh mengetuai gabungan ahli Asean berkongsi pemikiran dan komitmen yang sama, merangkumi negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei.

Kumpulan yang lebih kecil ini boleh memberi tumpuan kepada libat urus diplomatik yang bersepadu, usaha kemanusiaan yang bersasar dan peningkatan tekanan ke atas junta Myanmar.

Kekalkan momentum diplomatik

ADS

Minilateralisme membenarkan kemajuan tanpa memerlukan konsensus daripada semua anggota Asean, sekali gus melangkaui negara-negara penentang idea tersebut.

Kedua, memperkukuhkan Konsensus Lima Perkara Asean. Putrajaya boleh mendesak kebertanggungjawaban yang lebih besar daripada pihak junta dengan menetapkan garis masa dan penanda aras yang jelas.

Penglibatan rakan dialog Asean termasuklah AS, Jepun dan Australia, boleh membantu menguatkuasakan pematuhan melalui langkah-langkah seperti sekatan dan isolasi diplomatik bagi pihak yang enggan patuh.

Malaysia juga harus menganjurkan dialog inklusif yang melibatkan kumpulan pembangkang seperti Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), pertubuhan etnik bersenjata dan masyarakat sivil bagi memastikan konsensus dibentuk dengan memenuhi aspirasi rakyat Myanmar.

Ketiga, melantik duta khas tetap sepenuh masa yang menumpukan usaha sepenuhnya untuk menangani krisis Myanmar.

Berbeza daripada duta khas bergilir dengan mandat terhad pada ketika ini, duta khas tetap dengan kuasa dan sumber yang mencukupi boleh mengekalkan momentum diplomatik, memudahkan dialog dengan pihak berkepentingan dan menyelaraskan kerja-kerja dengan organisasi antarabangsa seperti PBB.

Peranan itu akan memastikan kesinambungan dan keberkesanan merentasi peralihan pengerusi Asean.

Keempat, memperkasa mekanisme Troika Asean yang melibatkan kerjasama antara Pengerusi Asean yang lalu (Laos pada 2024), semasa (Kuala Lumpur) dan akan datang (Filipina pada 2026).

Malaysia boleh mengukuhkan mekanisme Troika Asean dengan menginstitusikannya dengan mandat, garis panduan dan peranan yang jelas, meningkatkan kapasitinya dalam pembuatan keputusan, dan mewujudkan repositori komprehensif mengenai inisiatif dan resolusi.

Langkah memformalkan Troika berupaya meningkatkan legitimasi dan keupayaannya untuk menangani isu-isu mendesak serta memperkukuhkan kesinambungan dasar.

Kelima, Malaysia boleh memanfaatkan pengaruh China di Myanmar. Sebagai rakan dagangan terbesar Myanmar dan pembiaya Koridor Ekonomi China-Myanmar (CMEC) di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Beijing mempunyai pengaruh ekonomi dan politik yang besar ke atas Naypyidaw.

Melalui hubungan dua hala yang kukuh dengan China, Malaysia boleh mendorong Beijing untuk menyokong penyelesaian yang diterajui oleh Asean, lebih-lebih lagi apabila China telahpun menjalinkan perjanjian keselamatan dengan semua pihak yang terlibat dalam krisis di Myanmar.

China juga menjadi pengantara dalam rundingan damai.

Malaysia boleh mendapatkan kerjasama Beijing untuk menekan junta bagi menghentikan keganasan, melibat urus semua pihak berkepentingan dan menyelaraskan projek CMEC dengan matlamat pembangunan inklusif yang tidak memburukkan lagi konflik.

Sebagai Pengerusi Asean pada 2025, Putrajaya menggalas harapan untuk memimpin rantau ini menangani krisis Myanmar. Dengan mengguna pakai langkah-langkah di atas, Malaysia boleh membimbing Asean ke arah respons yang lebih berkesan dan tersusun.

Meskipun krisis Myanmar mustahil untuk diselesaikan oleh Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025, langkah-langkah yang diatur membolehkan Malaysia memperkukuhkan mekanisme penyelesaian yang mampan untuk ditinggalkan kepada pengerusi berikutnya.


ZAHARUL ABDULLAH pensyarah sains politik di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen