malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis sahkan Fahmi Reza ditahan reman sehari
Diterbitkan:  Dec 31, 2024 3:24 PM
Dikemaskini: 7:52 AM
ADS

Polis mengesahkan aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza ditahan reman selama sehari atas siasatan kes membabitkan karikatur Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman (gambar judul).

Ketua Polis Penampang, DSP Sammy Newton, memaklumkan kepada Malaysiakini mengenai perintah penahanan reman itu.

Dia berkata Fahmi disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang: Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Perintah reman terhadap Fahmi dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, di Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini.

Karikatur kontroversi itu menggambarkan Musa Aman memakai tanjak dengan wang kertas RM100 di dalam mulutnya. Versi awal karikatur tersebut turut memaparkan frasa “Perasuah Nombor Satu Sabah” dalam Bahasa Melayu.

Musa Aman dilantik Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Disember dan akan memulakan tugas pada 1 Januari 2025.

Sebelum ini, dia menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi telah dibebaskan.

Menurut hantaran media sosial Fahmi, dia memaparkan poster tersebut pada dinding di Asia City, Kota Kinabalu, pada 27 Disember yang diturunkan hanya beberapa jam kemudian.

Pelbagai kumpulan dan individu telah mengecam penahanan Fahmi, menuntut pembebasannya segera serta mengkritik tindakan undang-undang terhadapnya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen